Majikan Pertama Didakwa Di Mahkamah Ambil Pekerja Tanpa Permit Bebas Hukuman

Diterbitkan: Jumaat, 3 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Selepas dua tahun dibelenggu kebimbangan meringkuk di penjara, seorang wanita yang merupakan majikan pertama dihukum atas kesalahan menggaji sembilan pekerja asing tanpa permit yang sah akhirnya menarik nafas lega selepas dibebaskan daripada hukuman.

Ini kerana pada Jumaat, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Dr Badariah Sahamid mengenepikan sabitan dan hukuman terhadap S.Kalaichelvi, 39, seorang pengarah urusan di sebuah syarikat pembuatan pakaian seragam selepas menerima rayuannya.

Keputusan itu juga bermakna Kalaichelvi yang mempunyai tiga orang anak itu tidak lagi perlu menangis di prosiding mahkamah seperti yang berlaku pada Jumaat, dan juga pada hari hukuman dijatuhkan terhadapnya.

Pada penghakimannya, Badariah berkata, Majistret yang menjatuhkan hukuman tersebut telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang selain berlaku kecacatan pada pendakwaan kes.

“Apa yang mengganggu fikiran saya adalah terdapat dua lagi pegarah di syarikat tempat Kalaichelvi, tetapi mengapa hanya dia yang didakwa. Ini adalah pendakwaan terpilih,” katanya yang menyifatkan perkara itu sebagai malang.

Tambah beliau, Kalaichelvi didakwa atas kapasitinya sebagai pengarah urusan, tetapi perkara itu tidak pernah dibuktikan secara jelas dalam perbicaraan.

Justeru itu, beliau berpendapat keputusan tersebut menunjukkan berlaku ketidakadilan undang-undang pada Kalaichelvi selain wujud kelompangan yang amat jelas dalam kes pendakwaan.

Pada 10 Oktober 2008, Majistret Tasnim Abu Bakar memerintahkan supaya Kalaichelvi dihukum penjara selama enam bulan selepas didapati bersalah melakukan kesalahan itu dengan mengambil pekerja daripada India untuk bekerja di syarikat yang membuat pakaian seragam kakitangan kerajaan.

Dia yang berasal dari Jalan Istana Klang, didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 10.30 pagi, 16 Julai 2003 di premis perniagaan Euco Garments (M) sdn Bhd di nombor 136B, Jalan Batu Unjur 1, Bayu Perdana, Klang, dekat sini.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 yang dibaca bersama Seksyen 55B(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 bagi setiap seorang pekerja asing.

Seksyen itu juga memperuntukkan hukuman penjara iaitu bagi tempoh maksimum lima tahun dan juga boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam kali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari Imigresen Selangor, Fatimah Zahari hadir bagi pihak Imigresen Selangor.

Bagaimanapun, Kalaichelvi masih tidak menjalani hukuman penjara selepas Tasnim membenarkan permohonannya untuk menangguhkan hukuman sehingga selesai rayuan.

Bagi tujuan tersebut, Tasnim menetapkan Kalaichelvi yang diwakili peguam V.Ramanathan untuk membayar jaminan sebanyak RM30,000.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan