Ibu Kepada Dua Anak Bebas Tuduhan Subahat Bunuh Suami

Diterbitkan: Jumaat, 3 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang wanita yang terpaksa merengkok di dalam penjara sejak tiga tahun lepas dan berdepan dengan hukuman mati kerana dituduh bersubahat membunuh suaminya, Jumaat, dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan itu oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Apa yang lebih bermakna, Jubaitha Theen Mohamed, 35, bukan sahaja dapat melepaskan rindu kepada dua orang anaknya berumur lapan dan 11 tahun, malah bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama mereka minggu depan.

Wanita itu didakwa bersubahat dengan abang kandungnya, Mohamed Ismail Theen Mohamed, 39, melakukan bunuh ke atas Hamsah Hussein, 34, di hadapan rumah bapa mangsa di Kampung Datok Abu Bakar Baginda, Dengkil, Sepang, antara pukul 11 malam hingga 11.30 malam, 23 April 2007.

Jubaitha didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 114 Kanun yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun itu yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong.

Selain Jubaitha, abangnya Mohamed Ismail turut terselamat dari tali gantung apabila mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atasnya atas tuduhan pilihan menyebabkan kematian Hamsah di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda. Mohamed Ismail sebelum ini dibicarakan atas tuduhan membunuh Hamsah mengikut Seksyen 302 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang dibicarakan bersama Jubaitha menukar pengakuannya kepada bersalah apabila ditawarkan tuduhan pilihan oleh pihak pendakwaan selepas 16 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Sejurus mahkamah membuat keputusan, tertuduh dilihat tersenyum ke arah Jubaitha sambil menunjukkan isyarat tanda bagus sebelum kedua-dua beradik itu berpelukan dalam tangisan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian mangsa telah membawa Jubaitha dan dua anak mereka ke rumah bapanya iaitu di tempat kejadian.

Semasa berada di rumah itu, telah berlaku pertengkaran di antara mangsa dan Jubaitha menyebabkan wanita itu menghubungi tertuduh supaya datang segera ke rumah tersebut.

Apabila tertuduh sampai kira-kira 15 minit kemudian, berlaku pergelutan antara mereka dan tiba-tiba mangsa terjatuh ke atas lantai dengan badan berlumuran darah.

Ibu tiri mangsa yang berada di tempat kejadian melihat tangan kanan tertuduh memegang sesuatu dan sebelah lagi tangan tertuduh memegang adiknya.

Tertuduh dan Jubaitha kemudian segera beredar dari rumah tersebut menaiki kereta jenis Perodua Kancil yang diletakkan di luar rumah. Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Serdang tetapi meninggal dunia apabila tiba di sana.

Jubaitha ditangkap 24 April 2007 di rumah ibunya di Seri Kembangan dekat sini, sementara tertuduh ditangkap 18 Julai 2007 di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Hasil bedah siasat mengesahkan terdapat tujuh kesan tikaman di beberapa bahagian badan mangsa.

Terdahulu, peguam M.V. Stanislaus yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atas Mohamed Ismail dengan alasan anak guamnya menghidap penyakit ulser di perut dan migrain.

Beliau berkata tertuduh bertindak sedemikian kerana tidak sanggup mendengar aduan Jubaitha yang dia selalu bertengkar dan sering dipukul oleh suaminya.

"Tertuduh tiada niat membunuh mangsa. Pohon hukuman penjara antara lima ke enam tahun kerana anak guam saya perlu menanggung dua anak yang masih kecil dan juga perlu menyara Jubaitha serta dua anaknya. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Kolumnis

iklan

Iklan