Penganggur Tikam Polis Dihantar Ke Hospital Bahagia

Diterbitkan: Khamis, 2 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Seorang penganggur yang didakwa cuba menyebabkan kematian seorang anggota polis di sebuah kedai makan, Mac lalu diarahkan untuk dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak selepas didapati tidak waras semasa melakukan kesalahan itu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Yong Zarida Sazali membuat perintah itu terhadap Tan Liok Chong pada Khamis, dan memerintahkan dia ditahan sehingga mendapat perkenan daripada Sultan Selangor untuk dibebaskan.

“Adalah tidak wajar untuk tertuduh disabitkan dengan pertuduhan itu kerana dia menghidap penyakit mental,” kata Yong Zarida selepas meneliti laporan perbuatan tertuduh.

Dalam kes ini, Tan didakwa menikam Koperal Hasnor Hadi Zainal dengan menggunakan sebilah pisau yang boleh menyebabkan kematian atau kecederaan parah terhadap mangsa.

Kejadian itu berlaku pada pukul 2 pagi, 27 Mac lalu di sebuah kedai makan di Batu 15, Jalan Klang-Banting, dekat sini.

Bagi kesalahan itu, Tan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorbaya Jamil da Aimi Syazwani Sarmin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan