Nasib Lima Pelajar UM Dituduh Lakukan Khianat Ditentukan 24 September Ini

Diterbitkan: Rabu, 1 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 24 September ini bagi memutuskan sama ada lima pelajar Universiti Malaya (UM) yang didakwa melakukan khianat dan menceroboh universiti itu pada Jun tahun lepas, diarah membela diri atau dilepaskan daripada pertuduhan.

Hakim Rozana Ali Yusuff menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin dan peguam Mohamad Arfizi Mohd Ramli yang mengetuai barisan pihak pembelaan selesai mengemukakan hujahan.

Prosiding perbicaraan kes itu yang bermula pada Jun lalu, ditutup selepas saksi terakhir iaitu Detektif Koperal Yaakob Ramli dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields memberi keterangan bagi melengkap seramai 19 saksi pendakwaan.

Lima pelajar berkenaan, Mohamad Izzuddin Hilmi, Muhammad Syahrul Denn Ahmad Rosli, Mohamad Aizat Rosle, Mohammad Saufi Jelani, masing-masing 22 tahun dan Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin, 23, dituduh menceroboh bangunan fakulti itu mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Kelima-lima pelajar itu turut didakwa melakukan kesalahan khianat dengan menyimbah petrol ke atas permaidani dan menconteng dinding dewan utama fakulti itu, mengikut Seksyen 427 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pintu utama dewan fakulti itu kira-kira 4 pagi, 24 Jun, 2009.

Terdahulu, Mohd Arfaizi yang mewakili Mohamad Izzuddin Hilmi dan Muhammad Syahrul berhujah saksi pendakwaan tidak melihat mereka ketika kejadian.

"Ini mewujudkan keraguan mengenai tertuduh dan jelas mereka tidak ada pengetahuan mengenai kejadian itu," katanya.

Katanya, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan ke-15 iaitu pengawal keselamatan Rohazi Ishak, 37, yang menyatakan telah nampak Mohammad Izzudin keluar dari Dewan B selepas membuat intipan, bagaimanapun saksi itu tidak nampak tertuduh masuk ke dalam dewan itu.

Mohamad Arfaizi juga berhujah bahawa jarak iaitu antara tempat kejadian itu dengan tempat intipan yang dilakukan oleh pengawal keselamatan itu, menunjukkan mustahil untuk melihat tertuduh yang hanya berpandukan sebuah lampu di luar dewan itu.

Peguam Mohd Radzlan yang mewakili Mohd Shazni, dalam hujahannya berkata tiada kesan bahan mudah terbakar ditemui berdasarkan eksibit yang telah dikemukakan oleh pendakwaan iaitu sarung tangan getah, seutas jam tangan selain seluar panjang selepas dianalisis oleh ahli kimia.

Peguam Zul Azmi yang mewakili Mohd Saufi dan Mohamad Aizat pula berhujah, bahawa kelima-lima mereka dengan jelas tiada perancangan untuk melakukan perbuatan itu atas alasan tiada rekod panggilan antara mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura, dalam hujahnya berkata walaupun berdasarkan laporan kimia menyatakan tidak dapat dibuktikan kewujudan bahan hidrokarbon tetapi keterangan daripada saksi pendakwaan adalah sebaliknya.

"Keterangan daripada saksi-saksi pendakwaan menyatakan mereka ada terbau petrol ketika berada di tempat kejadian yang boleh digunakan bagi menyokong antara satu sama lain," katanya.

Hujahnya walaupun tiada sesiapa yang melihat tertuduh yang melakukan perbuatan itu, adalah satu tindakan yang luar biasa bagi seseorang pelajar keluar pada awal pagi dengan nombor pendaftaran motosikal digelapkan.

"Perkara ini diakui melalui keterangan tiga orang saksi yang terdiri daripada pengawal keselamatan UM yang saling melengkapi ketika menahan tertuduh pada malam kejadian yang mendapati nombor pendaftaran motosikal itu digelapkan," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan