Bekas Pengarah JSJK Dilepas, Dibebaskan

Diterbitkan: Jumaat, 20 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini pasti lebih istimewa buat bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff selepas dia dilepas dan dibebaskan bagi tuduhan memegang jawatan sebagai seorang pengarah semasa masih bergelar seorang penjawat awam.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, S.M Komathy Suppiah yang membuat keputusan itu pada Jumaat, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie untuk dijawab oleh Ramli.

Ramli, 57, didakwa menjawat jawatan tersebut di Kinsajaya Sdn Bhd sedangkan beliau semasa itu adalah Pengarah JSJK pada 2 Mei 2006.

Sebagai seorang penjawat awam, beliau terikat dengan Peraturan 5(1)(a) Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib (Pindaan) 222.

Peraturan itu menyatakan bahawa penjawat awam tidak dibenarkan mengambil apa-apa bahagian dalam sebarang jenis perniagaan.

Beliau didakwa kali pertama pada 1 November 2007 mengikut Seksyen 168 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selepas mendengar keterangan 13 saksi pendakwaan, Komathy yang turut meneliti Penyata Laporan dan Kewangan Syarikat Kinsajaya bertarikh 20 Jun 2006 berpuas hati bahawa Ramli bukanlah pengarah syarikat itu.

“Pengarah sebenar adalah Rohmah@Hasmah Yusuff, iaitu kakaknya dan Roslina, adik Ramli kerana terdapat tandatangan mereka pada penyata tersebut,” katanya.

Ramli semasa ditemui, meluahkan rasa syukur dengan keputusan itu.

Beliau diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Bache.

Pada 12 Mac lalu, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Ramli daripada tiga pertuduhan gagal mengisytiharkan kepentingannya dalam dua hartanah bernilai lebih RM1 juta dan pemilikan saham.

Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah pada 27 Julai tahun lalu turut melepas dan membebaskan Ramli daripada tuduhan menyalah guna kuasanya.

Bagi tuduhan salah guna kuasa, Ramli yang pernah memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah didakwa mengeluarkan arahan dan menggunakan pesawat Cessna Caravan CE 208-9M-PSQ milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membawanya meninjau tanah di Ulu Tungku, Lahad Datu.

Ramli yang didakwa memiliki kepentingan dalam Kinsajaya yang dikatakan mempunyai pelaburan di tanah berkenaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut pada pukul 7.50 pagi, 15 Jun 2007 di Pangkalan Unit Udara Polis Tanjung Aru, Sabah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan