Bicara Kes Benjy - Saksi Rampas Dua Paket Plastik Lutsinar Disyaki Syabu

Diterbitkan: Khamis, 19 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis yang memberi keterangan dalam perbicaraan kes dadah pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy berkata, beliau merampas dua paket plastik lutsinar yang disyaki berisi dadah jenis syabu dari sebuah rumah, lima bulan lalu.

Asisten Superintendan Mohd Ashril Md Johar, 42, yang bertugas di Bahagian Risikan, Operasi Dan Tahanan memberi keterangan di Mahkamah Majistret di sini Khamis, dan menambah beliau bersama lapan anggota telah ke rumah di Vista Mutiara, Kepong, di sini dengan dipandu arah oleh seorang lelaki dan perempuan Melayu.

Lelaki dan perempuan tersebut terdahulu ditahan di tempat letak kereta Menara Duta 2, di Jalan Segambut, di sini.

“Dadah dijumpai di atas meja kecil di ruang tamu rumah. Saya telah tanya pada lelaki tersebut ‘ini siapa punya?’ tetapi lelaki itu hanya mendiamkan diri,” kata Mohd Ashril.

Beliau selaku saksi pendakwaan pertama menambah, telah mengarahkan lelaki itu memandu arah pasukan polis untuk ke sebuah lagi rumah di Menara Duta 2, selepas dimaklumkan bahawa dia juga menetap di situ.

“Kami (pasukan polis dan lelaki itu) naik ke rumah di Menara Duta. Lelaki itu merayu kepada saya untuk dibukakan gari yang dipakaikan di tangan dengan alasan tidak mahu anaknya melihat dia ditangkap.

“Saya tanya selain anak, siapa lagi yang ada di rumah. Lelaki itu beritahu ada pembantu rumah Indonesia manakala isterinya bekerja. Kemudian, dia sendiri yang tekan loceng,” tambahnya.

Mengimbas kembali kejadian yang berlaku, saksi yang telah membacakan kata-kata amaran kemudiannya bertanya sekiranya lelaki itu ada menyimpan sebarang barang salah di rumah tersebut,.

“Dia (lelaki itu) jawab ada,” tambah Mohd Ashril.

Jawapan itu dibantah oleh peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Benjy sekali gus memohon supaya satu bicara dalam perbicaraan (TWT) diadakan bagi memutuskan sama ada jawapan ‘ada’ itu diberikan secara sukarela atau tidak.

Timbalan Pendakwa Raya Nurmadiana Mamat membantah permohonan tersebut kerana ia akan memanjangkan tempoh perbicaraan selain saksi telahpun membacakan kata-kata amaran yang difahami oleh lelaki itu.

Menjawab hujahan itu, Amer Hamzah berkata, TWT harus diadakan bagi memastikan perbicaraan adalah adil.

Majistret Haffiza Sauni membenarkan permohonan itu dan memerintahkan supaya TWT diadakan petang Khamis.

Dalam kes ini, Benjy, 32, sedang dibicarakan atas dua tuduhan memiliki syabu sebanyak 0.14 gram di rumah C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Off Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru pada pukul 3 petang, 11 Mac lalu.

Anak lelaki tunggal kepada seniwati Azean Irdawaty itu juga didakwa memiliki 0.24 gram dadah yang sama pada pukul 4 petang hari yang sama di rumah bernombor A-6-5, Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Benjy yang pernah memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik itu kini ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor untuk tempah selama dua tahun hadir di mahkamah dengan mengenakan baju kemeja biru cair dan berseluar putih.

Dia yang digari di hadapan juga melambai ke arah Azean yang berada di galeri awam mahkamah bersama anggota keluarga yang lain.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan