Saya Mengikut Bukti Saintifik, Bukan Mahu Pertikai SPRM - Dr Pornthip

Diterbitkan: Rabu, 18 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Penglibatan ‘Dr Kematian’ Thailand, Dr Pornthip Rojasunan dalam prosiding inkues siasatan kematian pembantu politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock bukan bertujuan untuk menyerang intergriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pornthip yang menyambung semula keterangannya di Mahkamah Koroner di sini pada Rabu, juga menafikan bahawa penemuannya dalam kes tersebut dibuat tanpa bukti yang mencukupi dan keterangan bersumpah yang diberikannya adalah bersifat imaginasi semata-mata.

“Saya bersuara untuk mereka yang telah mati. Saya tidak berada di sini untuk mewakili Kerajaan Selangor ataupun Kerajaan Malaysia. Saya mencari bukti dan mengikut bukti saintifik,” ujar beliau mengenai kedudukannya.

Pendirian Pornthip, yang merupakan Pengarah Institut Sains Forensik, Jabatan Keadilan Thailand dinyatakan semasa beliau disoal oleh Ketua Unit Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa.

Jika prosiding mahkamah lazimnya berlangsung dalam keadaan yang sunyi, prosiding inkues Teoh gamat dengan sorakan dan tepukan sebahagian orang awam terutamanya apabila berlaku adegan sindir menyindir antara Pornthip dan Abdul Razak.

Keadaan itu menyebabkan Koroner Azmil Muntapha Abas dan anggota polis mahkamah terpaksa memberi amaran selain terdapat dua orang awam yang dihalau keluar dari galeri awam kerana mengingkari amaran itu.

Sindiran pertama berlaku apabila Abdul Razak mempersoalkan Universiti Mahidol, Thailand yang tidak diiktiraf oleh Malaysia lantas dikatakan menjadi penyebab mengapa Pornthip tidak boleh melakukan penyiasatan berkaitan kes kematian Teoh.

Pornthip dengan nada sinis menjawab: ”Universiti saya adalah antara lima yang terbaik di Asia. Jangan pandang rendah pada Asia. Saya tidak terlibat (dalam penyiasatan) kerana tiada bidang kuasa.”

Sehinggakan pada satu peringkat, peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Kerajaan Selangor membantah soalan yang diajukan oleh Abdul Razak dan meminta supaya beliau bersikap lebih adil dengan saksi inkues ke-30 itu.

Perkara sama berlaku sekali lagi selepas timbul salah faham berhubung keterangan Pornthip yang mana beliau menafikan ada memberi keterangan bahawa Teoh, 30, dicekik.

Beliau kemudiannya menyuruh Abdul Razak untuk membaca laporan yang disediakannya.

Abdul Razak: Saya meluangkan masa selama tiga hari untuk baca (keterangan sebelum ini).

Pornthip: Mungkin kamu kena luangkan lebih banyak masa.

Abdul Razak: Kamu katakan cedera di leher mungkin disebabkan objek tumpul. Apakah objeknya?

Pornthip: Itu bukan skop tugas saya. Adakah kamu peguam?

Abdul Razak: Saya mungkin muda daripada kamu, tetapi saya telah menjadi seorang peguam selama 24 tahun.

Seterusnya Abdul Razak membangkitkan bahawa Pornthip masih berseorangan dalam pendiriannya berhubung kematian Teoh di mana empat doktor lain bersependapat dalam punca kematian, iaitu sebagai bunuh diri. Empat doktor tersebut ialah Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Samberkar (yang melakukan bedah siasat kali pertama) dan Dr Shahidan Md Noor (mengendalikan bedah siasat kedua) dan juga Dr Peter Vanezis dari Britain yang dlantik oleh SPRM sebagai pemerhati pada bedah siasat kedua.

Pornthip dengan tenang menjawab: Itu dinamakan sebagai bebas.

Abdul Razak: Ia sudah menjadi 4–1.

Pornthip: Kamu harus menghormati Koroner. Beliau yang akan meneliti (keterangan).

Abdul Razak: Kami bekerja dalam majoriti.

Perbezaan pendapat ini dihentikan oleh Azmil Muntapha yang kemudiannya menetapkan 1 September depan sebagai sebutan semula kes untuk memberi peluang kepada peguam yang mewakili keluarga mendiang, Gobind Singh Deo dan Malik Imtiaz untuk mencari pakar bagi membantu penyiasatan bukti baru dalam prosiding itu.

Prosiding inkues diadakan susulan kematian Teoh pada 16 Julai 2006 di Plaza Masalam, di sini, yang menimbulkan persoalan kerana beberapa jam sebelum itu dia disoal siasat di Pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 plaza sama.

Teoh yang merupakan pembantu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dikatakan hadir di pejabat tersebut sebagai saksi berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukkan negeri.

Prosiding inkues turut dihadiri oleh beberapa penyokong yang memakai T-shirt putih tertera gambar Teoh. Mereka juga memakai bunga daisi putih sebagai tanda sokongan kepada keluarga Teoh.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Ayda Jebat Kecewa Mainan Politik

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Kolumnis

iklan

Iklan