Nota Bunuh Diri Perlu Disiasat Segera – Dr Pornthip

Diterbitkan: Rabu, 18 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Siasatan lanjut perlu dilakukan dengan segera terhadap sebarang nota yang dijumpai atau yang ditinggalkan di sesuatu tempat kejadian, kata Pakar Forensik Thailand, Dr Pornthip Rojasunan di Mahkamah Koroner di sini pada Rabu.

Beliau yang disoal oleh peguam Gobind Singh Deo pada prosiding inkues siasatan kematian pembantu politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock berpendapat nota sedemkian dapat membantu dalam menentukan sebab kematian.

Beliau yang pernah berdepan situasi iaitu nota sedemikian ditinggalkan menambah, beberapa ujian analisa juga perlu dilakukan terhadap nota tersebut.

“Jika nota itu disimpan dalam sampul surat, analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA) perlu dijalankan pada air liur yang terdapat pada sampul surat, begitu juga ujian cap jari dan cap tangan serta analisa tulisan tangan,” tambah beliau.

Gobind bertindak sebagai wakil kepada keluarga Teoh pada prosiding inkues tersebut.

Selain itu, Pornthip yang mula dikenali sejak terlibat dalam bedah siasat mangsa Tsunami 2004 juga menambah, siasatan memainkan aspek penting bagi memastikan bahawa nota tersebut tidak ditinggalkan dalam kejadian bunuh, yang mana bukti itu mungkin diusik.

Semasa disoal jika nota seperti itu akan memberi kesan dalam penyiasatan sesuatu kes kematian, Pornthip dengan tenang menjawab: “ Sangat kecil (kesan). Saya lebih bergantung kepada bukti saintifik.”

Berhubung keterangannya yang tidak dapat mengekalkan peratusan kematian Teoh, iaitu 80 peratus adalah akibat dibunuh, Pornthip berkata perkara itu disebabkan kekangan yang dialami dalam penglibatan kes tersebut.

“Saya tidak mempunyai laluan kepada tempat kejadian pada peringkat awal kejadian,” katanya yang masih menolak teori bahawa Teoh, 30, membunuh diri.

Selain itu, penglibatannya dalam bedah siasat kali kedua mayat Teoh yang dilakukan di Hospital Sungai Buloh, dekat sini pada 22 November 2009 juga terhad kerana beliau hanya sebagai pemerhati.

Bedah siasat itu dijalankan oleh pakar tempatan, Dr Shahidan Md Noor dan turut bertindak sebagai pemerhati ialah pakar dari Britain, Dr Peter Vanezis yang dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Prosiding inkues diadakan bagi mencari sebab kematian Teoh, 30, yang merupakan pembantu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang ditemui mati pada 16 Julai 2009 di Plaza Masalam, di sini. Kematiannya menimbulkan banyak persoalan kerana beberapa jam sebelum itu dia disoal siasat di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 plaza sama berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukkan wang kerajaan Negeri Selangor.

Prosiding inkues yang didengar di hadapan Korober Azmil Muntapha Abas akan disebut semula pada 1 September ini bagi memberi masa kepada peguam keluarga Teoh dan Kerajaan Negeri mencari pakar bagi membantu dalam penyiasatan bukti baru yang dikemukakan dalam prosiding itu.

Ramai yang berpendapat bukti baru itu ialah nota bunuh diri yang dikatakan ditemui dalam beg galas Teoh. Penemuan nota itu hanya dibawa ke pengetahuan mahkamah pada 9 Ogos lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan