Label 'Ponni' Pada Beras Faiza Dibatal

Diterbitkan: Selasa, 17 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan sebagai tidak sah penggunaan perkataan 'ponni' sebagai label bagi beras keluaran syarikat Faiza Sdn Bhd.

Hakim Datuk Azahar Mohamed membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Agricultural and Processed Food Products Export Development Authority of India (APEDA) dan empat lagi untuk membatalkan cap dagang dibuat oleh syarikat tempatan itu. Beliau memutuskan supaya pendaftaran cap dagang bagi 'ponni' dibatalkan dan dikeluarkan daripada Daftar Cap Dagang Malaysia.

Dalam penghakimannya, Azahar berkata beras 'ponni' dihasilkan di wilayah Delta Kaveri di India, dan syarikat Faiza tidak mempunyai hak untuk mendaftar penggunaan perkataan 'ponni' itu.

"Perkataan 'ponni' bukannya satu perkataan yang dihasilkan oleh syarikat Malaysia itu. Dalam bahasa Tamil, ponni bererti emas kerana beras adalah sesuatu yang amat bernilai, dan ponni adalah nama yang diiktiraf sebagai satu jenis beras dari Tamil Nadu.

"Ponni tidak layak untuk didaftar kerana ia menyekat pihak lain daripada menggunakan jenis beras itu secara sah. Responden tidak berhak mendaftar nama ponni sebagai cap dagang," kata hakim Azahar.

Dalam notis usul yang difailkan pada 22 Januari lepas, APEDA serta Universiti Pertanian Tamil Nadu, dua petani dari India iaitu Balasubramaniam dan Palanysamy, pengeksport Visnukumar Traders Pvt.Ltd dan K.K Imports and Eksports menamakan Faiza Sdn Bhd sebagai responden.

Kesemua pemohon menuntut supaya mahkamah membuat satu perintah bahawa pendaftaran cap dagang No 00007172 dibatalkan dan dikeluarkan daripada Daftar Cap Dagang Malaysia.

Mereka juga memohon kos untuk permohonan itu dan relif lain.

Kesemua pemohon mendakwa 'ponni' merupakan sejenis baka beras yang dinamakan sebagai penghormatan kepada wilayah Delta Kaveri di India dan beras itu dinamakan 'ponni' oleh Universiti Tamil Nadu serta telah dieksport ke seluruh dunia.

Pemohon juga mendakwa kemasukan cap dagang untuk 'ponni' dalam Daftar Cap Dagang Malaysia di bawah nama Faiza Sdn Bhd adalah salah kerana syarikat itu bukan pemilik 'ponni' sebagai satu cap dagang dan bukan pencipta 'ponni'.

Dalam afidavit jawapannya, Faiza Sdn Bhd yang diwakili pengurus jualan dan pemasaran Fazaruddin Ibrahim, berkata pihak pengurusan syarikat mendapatkan cap dagangan sebagai jenama dalam kelas 30 pada 6 Jun 2000 daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

Syarikat itu mendakwa tujuan mendapatkan kelulusan cap dagangan sebagai jenama hanyalah untuk memastikan perlindungan hak penjenamaan setelah mengeluarkan kos yang tinggi untuk mempopularkan jenama itu.

Pendaftaran itu juga tanpa sebarang niat jahat yang terlindung dan bukan menafikan kepentingan asal geografi beras 'ponni'.

Kelima-lima pemohon diwakili peguam Karen Abraham manakala Faiza Sdn Bhd diwakili peguam A. Chinnapalanidevi. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:33 PM

Temui Cincin Pada Lobak Selepas 13 Tahun Hilang

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:00 PM

Jantina Belum Tahu Lagi! - Ezzaty Abdullah

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Kolumnis

iklan

Iklan