Dua Bersaudara Dipenjara 5 tahun Kerana Bakar Gereja

Diterbitkan: Jumaat, 13 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini Jumaat, menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas dua beradik yang didapati bersalah membakar gereja di Desa Melawati awal tahun ini.

Hakim S.M. Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas mendapati Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24, dan adiknya Raja Mohamad Izham, 22, gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah selepas diperintah membela diri.

Raja Mohamad Faizal, seorang penghantar surat dan Raja Mohamad Izham, pekerja bank, didakwa melakukan khianat dengan membakar gereja Metro Tabernacle di Jalan 4/4C, Jalan Desa Melawati di sini pada 11.50 malam, 7 Jan lepas.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu bersama beberapa orang yang masih bebas, mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Turut didakwa ialah rakan mereka Azuwan Shah Ahmad, 23, yang kemudiannya dibebaskan di akhir kes pendakwaan pada 30 Julai lalu.

Dalam penghakimannya, Komathy berkata Dr Lim Chee Kean dari Hospital Kuala Lumpur yang merawat Raja Mohamad Faizalmemberitahu mahkamah bahawa beliau dimaklumkan tertuduh pertama bahawa kecederaan yang dialami berpunca daripada terkena api ketika membakar sampah, dan perkara sama turut dinyatakan oleh rakan kedua-dua tertuduh iaitu Mohd Hamzan Zainal Abidin, 24, ketika ditanya polis.

Sehubungan itu, katanya, isu jamuan barbeku tidak timbul dan keterangan mengenainya adalah bercanggah dengan keterangan beberapa saksi pembelaan kepada polis.

Komathy berkata mahkamah tidak boleh bersimpati terhadap mana-mana individu yang membakar rumah ibadat sesuatu agama kerana perbuatan itu betul-betul melampau dan kej.

"Mahkamah ini perlu menjatuhkan hukuman berat iaitu penjara terhadap pesalah yang sanggup mencemarkan kesucian agama, demi menjaga keharmonian dan keamanan negara yang dihuni pelbagai kaum seperti negara kita.

"Jika hukuman ringan dijatuhkan, maka mesej bahawa kesalahan sebegini tidak boleh diterima dan dimaafkan, tidak akan sampai kepada orang ramai," katanya.

Beliau berkata perbuatan membakar gereja Metro Tabernacle dalam kes ini adalah sesuatu yang teruk dan hina, selain menyentuh perkara asas dalam sebuah masyarakat bertamadun dan cintakan keamanan.

"Satu daripada asas Rukun Negara ialah kepercayaan kepada Tuhan, namun kamu berdua telah membakar rumah Tuhan. Dengan melakukan perbuatan hina dan terkutuk itu, kamu telah memalukan masyarakat serta negara.

"Pemimpin dari segenap lapisan masyarakat juga telah tampil mengutuk perbuatan kamu. Nasib baik polis berupaya mengekalkan keamanan dan kestabilan negara, walaupun perbuatan kamu bersifat menghasut," katanya.

Komathy berkata dalam menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kedua beradik itu, mahkamah mengambil kira usia dan faktor bahawa mereka tidak mempunyai rekod jenayah.

"Amat menyakitkan apabila orang muda seperti kamu perlu dipenjarakan, namun bagi kesalahan sebegini, kepentingan awam perlu diutamakan dan mesej mahkamah perlu jelas dan lantang iaitu jangan bermain api," katanya.

Bagaimanapun, Komathy membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Raja Mohamad Faizal dan Raja Mohamad Izham ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Beliau menaikkan jaminan bagi setiap tertuduh kepada RM20,000 dengan seorang penjamin, berbanding RM10,000 dengan seorang penjamin sebelum ini.

Terdahulu, ketika merayu hukuman diringankan, peguam Datuk Hanif Hashim berkata ini merupakan kesalahan pertama kedua-dua tertuduh dan mereka perlu menyara keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali berkata kedua beradik itu sepatutnya memikirkan perkara itu sebelum melakukan sebarang perbuatan yang boleh menggugat ketenteraman awam, serta mencetuskan kes susulan seumpamanya.

Sepanjang perbicaraan yang bermula Januari lepas, pendakwaan memanggil 24 saksi manakala pembelaan mengemukakan empat saksi, termasuk kedua-dua tertuduh. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan