Pemandu Teksi Diarah Bela Diri Tuduhan Bunuh Syafiah Humaira

Diterbitkan: Khamis, 12 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil pada Khamis, diperintahkan membela diri atas tuduhan membunuh kanak-kanak, Syafiah Humairah Sahari yang ditendang dan dipijak dalam kejadian di padang bola, awal tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie untuk dijawab oleh tertuduh, yang merupakan teman lelaki kepada ibu mangsa, Siti Nurhanim Aziz.

“Sekiranya tertuduh memilih untuk berdiam diri, saya tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman yang diperuntukkan undang-undang,” kata Mohtarudin.

Pada penghakimannya, Mohtarudin berkata, terdapat empat saksi yang melihat kejadian tertuduh menendang, memijak dan menutup pintu teksi dengan kasar sehingga terkena mangsa yang disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala dan abdomen.

"Saya tidak mempunyai sebab untuk menolak keterangan saksi-saksi tersebut kerana saya mendapati mereka faham untuk bercakap benar dan mempunyai kecerdikan yang tinggi," katanya.

Beliau juga tidak dapat menerima keterangan yang mendakwa tertuduh seorang bersifat penyayang apabila menendang bola yang dipeluk oleh mangsa sehingga kanak-kanak itu terpelanting.

“Jika benar tertuduh orang yang penyayang, dia sepatutnya memberi bantuan pada mangsa. Sebaliknya, tertuduh memijak perut mangsa. Ini tidak dapat diterima apatah lagi dia memakai kasut bola yang mempunyai stud,” ujar Mohtarudin.

Sama ada tertuduh melakukan perbuatan itu dengan niat, Mohtarudin berkata: “Usia mangsa tiga tahun empat bulan adalah faktor yang disedari tertuduh. Daya tahan seorang kanak-kanak adalah rapuh berbanding dengan seorang dewasa.”

Selain itu, Mohtarudin yang mendengar keterangan 33 saksi pendakwaan juga memutuskan bahawa tertuduh berada dalam keadaan tertekan kerana berselisih faham dengan Siti Norhanim dan pada masa yang sama perlu menjaga dua orang anak kecil. Dua anak kecil itu ialah mangsa dan anak tertuduh bersama Siti Norhanim, Shakimie Iqbal.

Mohtarudin juga berkata, keterangan dua doktor iaitu, Dr Shahidan Md Noor dan Dr Neminder Singh menunjukkan kecederaan yang dialami mangsa tidak konsisten dengan dakwaan tertuduh bahawa mangsa terjatuh motosikal.

“Merujuk keterangan Dr Shahidan, beliau mengatakan banyak kecederaan yang tidak bersifat kemalangan kerana taburan cedera yang tidak setempat dan berlaku di bahagian tubuh yang terlindung,” katanya.

Beliau seterusnya menetapkan Isnin depan untuk tertuduh yang memilih untuk memberi keterangan daripada kandang saksi membela diri. Peguam Gurbachan Singh yang mewakili tertuduh juga dijangkakan akan memanggil dua saksi lain.

Mohd Fazli Azri, 28, didakwa membunuh Syafiah Humaira pada pukul 6.30 petang, 25 Februari lalu di padang bola, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini.

Dia kini berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika disabitkan bersalah melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani, Hanim Mohd Rashid dan Zureen Elina Mohd Dom.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan