Pemilik Kilang Kayu Dihukum Penjara & Denda Rasuah Pengarah Jab. Hutan

Diterbitkan: Jumaat, 6 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Tindakan seorang pemilik kilang kayu yang berkeras untuk memberi rasuah kepada seorang Pengarah Operasi dan Penguatkuasaan, Jabatan Perhutanan Selangor membawa padah selepas dia dijatuhi hukuman penjara selama 15 hari bermula Jumaat.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Mat Ghani Abdullah turut memerintahkan supaya tertuduh, Tan Boon Hock, 64, menjelaskan denda RM10,000 yang mana jika gagal, dia akan dihukum penjara untuk tempoh lima bulan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Tan mengaku salah atas pertuduhan memberi rasuah wang tunai RM2,000 kepada Mohd Yussainy Md Yusop pada pukul 3.45 petang, 13 November 2009 di nombor 281-A, Jalan Reko, Batu 16 1/4 Kajang, dekat sini.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap tertuduh yang melakukan kesalahan mengendalikan industri berasaskan kayu tanpa lesen dan memiliki hasil hutan yang tidak dibayar cukai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Baharuddin Ahmad Kassim mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam usaha meringankan hukuman, tertuduh merayu mahkamah mempertimbangkan faktor usianya yang sudah tua.

“Saya juga sakit jantung. Oleh itu, saya mohon hukuman yang paling ringan diberikan,” katanya dalam nada yang perlahan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan