Wanita Islam Perlu Tanggalkan Burqa - Berita Mahkamah | mStar

Wanita Islam Perlu Tanggalkan Burqa

Diterbitkan: Khamis, 5 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELBOURNE: Seseorang wanita Islam yang memakai burqa perlu menanggalkannya bila memberi keterangan di sesebuah mahkamah syariah, oleh itu perlu juga berbuat demikian di Australia, seorang peguam memberitahu mahkamah di Perth.

Hakim Mahkamah Daerah Shauna Deane mendengar hujah peguam itu pada Khamis tentang sama ada seorang wanita, saksi bagi pendakwaan dalam perbicaraan penipuan, wajar dibenarkan memakai burqa penuh, lapor Australian Associated Press (AAP).

Hakim berkata hujah peguam bela bahawa di mahkamah Islam wanita perlu menanggalkan burqa, tidak relevan kerana kes itu tidak didengar di sebuah mahkamah syariah.

Saksi, Tasneem, yang tidak mahu nama keluarga disiarkan, mahu memakai burqa penuh semasa memberi keterangan di perbicaraan seorang pengarah sekolah Islam, Anwar Sayed.

Menurut laporan AAP, Hakim Deane memberitahu mahkamah beliau tidak fikir keputusannya itu akan mencetuskan satu preseden mahkamah Australia mengenai burqa, oleh kerana beliau akan membuat keputusan hanya bagi kes berkenaan.

Hakim itu berkata beliau akan membuat keputusan pada 19 Ogos.

Peguam bela Mark Trowell menimbulkan keprihatinan tentang bagaimana juri dapat membaca roman muka saksi itu jika mereka tidak dapat melihat mukanya.

Tasneem, yang telah tinggal di Australia selama tujuh tahun, telah memakai burqa sejak berusia 17 tahun dan biasanya menanggalkannya bila bersama keluarga dan saudara mara lelaki.

Pendakwa Raya Mark Ritter berkata Tasneem menanggalkan burqa bila mengambil gambar untuk lesen memandu, melalui pemeriksaan Kastam di lapangan terbang dan bila berjumpa doktor perubatan.

Tasneem adalah guru pengajian Islam di Muslim Ladies College Australia di Kenwick, ke selatan Perth, pada 2006.

Sekolah itu ditadbir oleh Muslim Link Australia, dan Anwar Sayed adalah pengarahnya.

Beliau dituduh mendapatkan secara palsu A$752,000 dari sejumlah A$1.125 juta geran kerajaan untuk sekolah itu dengan memalsukan bilangan pelajar. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan