Rasuah: Pengawal Keselamatan Dipenjara, Denda

Diterbitkan: Khamis, 5 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan seorang pengawal keselamatan dihukum penjara selama 14 hari bermula Khamis, dan didenda RM10,000 kerana menerima wang rasuah, dua tahun lalu.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menjatuhkan hukuman itu terhadap V.Krishnakumar, 25, selepas menerima pengakuan salahnya dan memerintahkan tertuduh turut dipenjarakan lima bulan jika gagal menjelaskan denda.

Tertuduh didakwa menerima suapan sebanyak RM1,000 daripada pesara polis, M.Davadass, 54, pada pukul 8.30 malam, 3 November 2008 di Restoran Berkeley Corner, Jalan Lebuh Angsa, Kawasan 17, Taman Berkeley, Klang, dekat sini.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan supaya tertuduh yang semasa itu bekerja sebagai penarik kereta sambilan tidak menarik kereta Proton Perdana V6 milik rakan Davadass, V.Sarojini Devi, 47 tahun.

Ini kerana, kereta itu didakwa telah tertunggak bayaran ansuran selama empat bulan.

Tertuduh ditangkap sejurus selepas menerima wang kerana ia merupakan perangkap yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran aduan Davadass.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Zainal Ayob mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan yang mana lebih tinggi.

Dalam usaha meringankan hukuman, peguam A.Komathi merayu mahkamah mempertimbangkan faktor tertuduh telah insaf dengan kesalahan yang dilakukan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan