Kontraktor Fail Saman Tuntut Ganti Rugi Anak Mati

Diterbitkan: Rabu, 4 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang kontraktor memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM361,000 daripada seorang pekerja kilang yang didakwa menjadi punca anak gadisnya bunuh diri.

G.Sekaran, 50, selaku plaintif memfailkan saman itu bagi pihak mendiang anaknya, Santhi, 23, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen di sini pada pukul 12 tengah hari Rabu, menerusi peguam S.Selvam.

Plaintif menamakan teman lelaki Santhi, D.Vikram, 22, selaku defendan.

Berdasarkan tuntutan penyataannya, plaintif mendakwa defendan bertanggungjawab ke atas kematian anak kedua daripada lima beradik itu pada 1 Julai lalu akibat meminum racun.

Dakwa plaitif lagi, anaknya telah meninggalkan sepucuk surat yang ditulis dalam Bahasa Tamil di dalam almari pakaian yang mengatakan defendan sebagai punca dia mengambil keputusan untuk menamatkan riwayat hidupnya.

Justeru itu, plaintif menuntut ganti rugi am bernilai RM200,000, ganti rugi kedukacitaan (RM100,000) dan ganti rugi khas (RM61,000) yang meliputi perbelanjaan pengkebumian mayat, laporan pembedahan mayat dan wang serta barang kemas Santhi yang didakwa diberikan kepada defendan.

Plaintif juga menuntut faedah atas ganti rugi khas pada kadar 4 peratus setahun dari tarikh kemalangan sehingga penyelesaian penuh, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai.

Sementara itu, semasa disoal media, Sekaran berkata, dia turut membuat laporan polis terhadap Vikram berhubung kejadian itu pada 1 Julai lalu di Balai Polis U8, Bukit Jelutong, dekat sini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan