Hukuman Penjara 37 Tahun Pesalah Seks Bersiri Kekal

Diterbitkan: Selasa, 3 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Seorang pesalah seks bersiri mungkin terpaksa menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan meringkuk dalam penjara selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 37 tahun terhadapnya kerana meliwat bekas rakan sekerjanya tiga kali.

Hakim Datuk Hasan Lah yang mengetuai panel tiga hakim, bagaimanapun membenarkan rayuan Abdullah Mohd Isa, 45, bagi mengurangkan jumlah sebatan daripada 20 kepada 15.

Bekas pekerja kilang itu didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 30 Jun 2006 terhadap tiga pertuduhan meliwat rakan sekerjanya yang ketika itu berusia 18 tahun, di sebuah kilang di Rawang, antara 8 Julai dan 12 Julai 2003.

Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Pahang, ditempatkan di asrama yang sama dengan Abdullah.

Hakim Hasan yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Sulaiman Daud, membuat keputusan itu selepas mendapati tidak ada merit dalam rayuan Abdullah.

Abdullah, bapa kepada dua anak, sebelum ini mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan kesalahan seks.

Dia pernah dipenjara kerana mencabul kehormatan seorang wanita di Sekinchan ketika berusia 18 tahun serta pernah disabitkan bagi tiga kesalahan merogol dan dijatuhi hukuman penjara berjumlah 28 tahun dengan 12 sebatan.

Abdullah keluar dari penjara pada tahun 2000, namun tidak sampai tiga tahun, dia meliwat rakan sekerjanya pula.

Dalam kes liwat itu, Hakim Mahkamah Sesyen Azimah Omar (kini Pendaftar Mahkamah Rayuan) telah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dengan 10 sebatan bagi kesalahan pertama dan 17 tahun penjara dengan 10 sebatan bagi kesalahan kedua.

Beliau mengarahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak.

Bagi kesalahan ketiga, Abdullah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dengan 10 sebatan dan mahkamah memerintahkan dia menjalani hukuman itu secara berasingan, iaitu selepas selesai hukuman sebelumnya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan