Mahkamah Tinggi Tolak Saman Maria Tunku Sabri

Diterbitkan: Jumaat, 30 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Personaliti TV3, Maria Tunku Sabri sekali lagi gagal dalam tuntutan saman sivilnya terhadap seorang ahli perniagaan, Datuk Wan Johani Wan Hussin yang didakwa mengingkari penyelesaian perjanjian pembayaran pampasan RM5.5 juta kerana dikatakan gagal menunaikan janji untuk mengahwininya.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Datin Zabariah Mohd Yusof pada Jumaat, menolak saman tersebut dan memerintahkan supaya bekas pengacara rancangan ‘Jalan-Jalan Cari Makan’ itu menjelaskan kos sebanyak RM10,000.

Keputusan itu dbuat dalam kamar dan peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Maria dan peguam bagi Wan Johani, Akbardin Abdul Kadir dan Jagjit Singh memasuki kamar hakim pada pukul 4.15 petang dan keluar kira-kira 15 minit kemudian.

Akbardin kemudiannya memberitahu media bahawa Zabariah membuat keputusan itu kerana berpendapat perjanjian itu tidak sah dan bersifat pramatang selain Wan Johani, 57, selaku defendan tidak pernah mengingkari perjanjian.

Selain itu, Zabariah juga memutuskan bahawa Maria, 40, tidak berada dalam kapasiti yang membolehkan dia melibatkan diri dalam perjanjian tersebut kerana statusnya sebagai seorang wanita Islam yang telah berkahwin.

“Seksyen 14(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 jelas menyatakan bahawa seorang perempuan Islam tidak boleh berkahwin selagi perkahwinan itu wujud.

“Pembelaan Maria bahawa dia akan berpisah dengan suaminya juga bersikap pramatang kerana mereka masih berkahwin dan tiada kepastian bahawa suaminya akan menceraikan dia memandangkan hak cerai adalah pada suami,” kata Akbardin.

Jagjit pula memberitahu, isu kepastian merupakan isu yang penting dalam perjanjian dan mahkamah berpendapat ia adalah mustahil memandangkan Maria, 40, masih berkahwin. Maria berkahwin dengan Ahmad Nazri Abd Malek.

“Hak cerai juga tidak berada pada Maria. Perceraian secara fasakh adalah tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah. Malah, talak yang terletak pada suami juga perlu dibawa ke pengetahuan Mahkamah Syariah,” tambahnya.

Keputusan itu dibuat tanpa kehadiran Maria mahupun Wan Johani.

Sementara itu, semasa disoal sama ada Maria akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu, Sangeet berkata pihaknya akan mendapatkan arahan lanjut anak guam berhubung perkara tersebut.

Maria memfailkan tindakan undang-undang terhadap Wan Johani pada 2004 untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menguatkuasakan penyelesaian perjanjian yang dibuat oleh kedua-dua mereka.

Pada 5 Ogos 2008, Maria gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman asal dan memerintahkannya tidak boleh menguatkuasakan perjanjian itu kerana ia tidak sah.

Bagaimanapun, Maria diberi satu lagi peluang untuk percubaannya mengemukakan semula saman di Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Persekutuan pada 24 Mac 2009 memberi kebenaran kepadanya untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan mengemukakan semula saman sivil tersebut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan