5 Dipenjara Sebab Kematian Akibat Bunyi Motor

Diterbitkan: Rabu, 28 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Lima lelaki dihukum penjara oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, setelah mengaku salah menyebabkan kematian seorang penganggur dalam pertengkaran yang berpunca daripada bunyi motosikal, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S Hassan Badjenid memerintahkan G.Sasikumar, 25, S.Sivaraja, 24, R.Saravanan, 26, N.Mani Rajah, 25, dan S.Vijayan, 27, menjalani hukuman penjara selama enam tahun dan enam bulan bermula dari tarikh tangkap.

Semua tertuduh ditangkap antara 17 November 2006 dan 22 Oktober 2008.

Sasikumar yang tidak bersekolah bekerja sebagai kelindan lori bersama Saravanan dan Vijayan, Mani Rajah (mekanik motosikal) manakala Sivaraja bekas pemandu forklift.

Mereka mengaku salah menyebabkan kematian K.Yogeswaran, 20, antara pukul 12 dan 12.30 tengah malam, 27 Oktober 2006 di hadapan rumah nombor 48, Jalan Haji Yaakob 23, Taman Damai, Kapar, Klang, dekat sini.

Mereka yang didakwa melakukan kesalahan itu bersama dua lagi yang masih bebas ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama selepas tiga saksi memberi keterangan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin.

Barisan pembelaan dibarisi peguam V.Ayasamy, K.A Ramu, N.Ratnavathy dan Rajpal Singh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan bagi memberi peluang kepada semua tertuduh memulakan hidup baru.

Fakta kes menyatakan, mangsa dan adiknya yang dijemput menghadiri jamuan deepavali di rumah rakan mereka, D.Suresh Kumar telah bertembung dengan tertuduh yang sedang minum arak di gelanggang badminton berhampiran.

Tertuduh dan adik mangsa kemudiannya terlibat dalam pertengkaran mulut selepas salah seorang tertuduh memarahi mangsa kerana bunyi motosikalnya yang sangat bising.

Mangsa yang keluar dari rumah tersebut selepas penerimaan telefon bimbit yang kurang jelas telah ditarik ke tepi padang berhampiran oleh semua tetuduh.

Suresh Kumar juga melihat seorang suspek yang masih bebas yang bersenjatakan parang telah mengejar mangsa sebelum mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur mati pada 29 Oktober 2006 dan punca kematian disahkan sebagai kecederaan di kepala akibat trauma hentakan benda tumpul.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan