Perogol 'Ampang' Didakwa, Mengaku Tidak Salah

Diterbitkan: Isnin, 26 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

AMPANG: Enam hari selepas ditangkap, dua lelaki yang mendapat jolokan 'Perogol Ampang' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas tuduhan merogol tiga pelajar di bawah umur.

Aidil Rashid, 34, seorang kerani penghantar surat dan Lee Kwong Mun, 36, yang bekerja sebagai penarik kereta masing-masing tenang dan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapi.

Aidil yang merupakan bapa kepada dua orang anak didakwa merogol seorang pelajar berusia 14 tahun 9 bulan, pada pukul 3 petang, antara Mei dan Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit pangsapuri, Taman Industri, di sini.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi mangsa berusia 13 tahun 8 bulan, pada pukul 3 petang, antara April dan Jun lalu di sebuah unit, tingkat 13, Flat Taman Industri, di sini.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa merogol pelajar berusia 12 tahun 4 bulan pada pukul 6.30 petang, antara Mei dan Julai lalu di sebuah bilik di pangsapuri yang sama.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Kwong Mun juga didakwa mengikut seksyen sama atas pertuduhan merogol mangsa yang berusia 14 tahun 9 bulan, antara pukul 9 dan 9.30 malam, Mei lalu di sebuah bilik di pangsapuri sama.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa berusia 13 tahun 8 bulan pada pukul 8 malam, antara Ogos 2009 dan Jun lalu di tingkat 17, Flat Taman Industri.

Kedua-dua tertuduh berasal dari Lembah Jaya, di sini dan semasa kes disebut, beberapa ahli keluarga mereka dilihat berada di dalam mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Nordalina Ali membantah jaminan diberikan terhadap tertuduh atas alasan kesalahan adalah serius dan melibatkan mangsa di bawah umur.

"Tertuduh dan mangsa juga tinggal di kawasan yang sama dan terdapat kemungkinan tertuduh akan menganggu mereka," tambah Nordalina.

Bagaimanapun, peguam Dr Mohd Radzuan Ibrahim yang mewakili Aidil memohon tertuduh diberikan jaminan dan menyatakan anak guamnya tidak lagi tinggal di situ.

"Keluarga tertuduh telah berpindah ke rumah saudaranya selepas dia ditangkap," kata Dr Radzuan dan menambah mahkamah boleh menetapkan syarat tambahan kepada tertuduh.

Turut dinyatakan ialah tertuduh yang berpendapatan RM1,500 sebulan merupakan penanggung tunggal keluarga, termasuk seorang bapa yang tua.

Kwong Mun pula menyara ibu dan empat adik-beradik dengan menggunakan pendapatannya sebanyak RM1,000 sebulan.

Hakim Roszianayati Ahmad menetapkan jaminan setiap tertuduh pada jumlah RM8,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya tertuduh dikenakan syarat tambahan yang melarang mereka daripada menganggu mangsa.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 Ogos ini.

Sehingga jam 7.20 petang Isnin, kedua-dua tertuduh masih belum menjelaskan jaminan mereka.

Media sebelum ini melaporkan polis berjaya menahan dua lelaki yang disyaki mempengaruhi pelajar-pelajar tersebut sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu.

Selepas merogol, mereka dikatakan akan memberikan wang antara RM50 hingga RM300 kepada mangsa sebagai upah 'menutup mulut'.

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan