Bunuh Ibu, Cedera Ayah Kerana Tak Dapat Guru Agama

Diterbitkan: Isnin, 26 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang penghidap skizofrenia yang marah ekoran permintaannya untuk mendapatkan khidmat seorang guru agama untuk belajar mengaji tidak ditunaikan bertindak membunuh ibu dan mencederakan ayahnya, dua tahun lalu.

Ashraf Hamdan, 35, menetak ibunya, Aishah Jakin bertubi-tubi dengan menggunakan kapak manakala ayahnya, Hamdan Nordin cedera diserang menggunakan pisau.

Bedah siasat yang dilakukan terhadap Aishah, 67, mendapati terdapat 24 kesan kecederaan pada tubuhnya.

Bagaimanapun, Ashraf terselamat daripada hukuman gantung atas kesalahan itu selepas Mahkamah Tinggi di sini, memerintahkan dia dihantar ke hospital mental sehingga tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu pada Isnin, selepas berpuas hati bahawa tertuduh tidak waras dan tidak mengetahui perbuatannya menyalahi undang-undang semasa melakukan perbuatan tersebut.

"Tertuduh telah disahkan menghidap penyakit mental dan perlu diletakkan di bawah jagaan," katanya yang telah mendengar keterangan 17 saksi pendakwaan.

Selain itu, Asmabi turut mendengar keterangan dua saksi pembelaan termasuk keterangan tertuduh yang diberikan dari kandang pesalah.

Mengimbas kembali kejadian itu, tertuduh yang menghidap skizofrenia sejak Oktober 1998 berkata, kejadian berlaku selepas dia pulang dari masjid berhampiran rumah.

“Selepas pulang, saya panggil emak dan minta supaya dapatkan khidmat guru agama tambahan kerana guru sebelum ini tidak datang hampir seminggu. Ayah tidak bersetuju.

“Saya terus marah dan hilang kawalan serta tidak tahu apa yang terjadi. Selepas itu, saya nampak ibu bapa saya terbaring di lantai,” kata Ashraf dalam pembelaannya.

Dalam kes ini, tertuduh didakwa membunuh Aishah pada pukul 11 malam, di belakang rumah Lot 9147, Jalan Harmonis 2, Taman Harmonis, Gombak, dekat sini.

Dia juga menghadapi satu lagi tuduhan iaitu menyebabkan cedera parah terhadap Hamdan, 69, di tempat dan masa yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhairy Zakaria sementara tertuduh diwakili peguam James George.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan