Pengarah Dituduh Ambil Duit Syarikat RM1.3 Juta

Diterbitkan: Khamis, 22 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengarah syarikat pelaburan Dalamasa Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Abdul Rahman, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap tuduhan mengambil wang syarikat sebanyak RM1.3 juta.

Abdul Malik, 47, dari Masai, Johor, didakwa menggunakan wang yang diambilnya itu untuk faedah sebuah lagi syarikat pelaburan miliknya, Ambridge Logistic Sdn Bhd.

Dia didakwa mengambil wang syarikat itu secara tidak jujur di premis bernombor B-5-6, Megan Avenue II, Jalan Yap Kwang Seng di sini antara 4 April dan 17 Mei 2007.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 132(1) Akta Syarikat 1965 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 132(3)(b) akta yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda RM30,000 jika sabit kesalahan.

Apabila pegawai pendakwa daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Zulkhairi Kamarul Zaman mencadangkan ikat jamin sebanyak RM30,000, Abdul Malik merayu agar jumlah itu dikurangkan memandangkan dia tidak mempunyai wang yang cukup kerana telah muflis dan hanya mampu membayar RM5,000.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad kemudian menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan syarat tambahan iaitu Abdul Malik menyerahkan pasport kepada mahkamah. Beliau kemudian menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan bagi membolehkan tertuduh melantik peguam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan