Zaid Didakwa Gagal Tunjukkan Pengundi Berubah Hati

Diterbitkan: Rabu, 21 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Pilihan Raya diberitahu bahawa Datuk Zaid Ibrahim gagal menunjukkan dalam afidavitnya bahawa para pengundi Hulu Selangor telah mengubah fikiran daripada memberi undi mereka kepada beliau dan sebaliknya mengundi calon Barisan Nasional (BN) P.Kamalanathan berikutan janji yang dibuat oleh parti gabungan itu.

Peguam Firoz Hussein Ahmad yang mewakili Kamalanathan berkata Zaid, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang bertanding pada pilihan raya kecil bagi kawasan Parlimen Hulu Selangor, juga tidak mengemukakan sebarang fakta untuk menunjukkan bahawa pada mulanya pemilih akan mengundi beliau dalam pilihan raya itu.

Oleh itu, kata beliau, pempetisyen (Zaid) tidak memenuhi Peraturan 4 Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954, dan oleh yang demikian, petisyen berkenaan wajar ditolak.

"Pempetisyen juga tidak memberi sebarang fakta yang menunjukkan bahawa pengundi dipujuk supaya mengundi Kamalanathan," katanya ketika berhujah dalam permohonan Kamalanathan untuk mengetepikan petisyen bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu.

Zaid, yang kini ketua PKR Wilayah Persekutuan, memfailkan petisyen itu pada 24 Mei kerana mendakwa wujud amalan rasuah dan meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan pilihan raya kecil itu tidak sah dan terbatal.

Beliau menamakan pegawai pilihan raya Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Zaid, yang juga seorang peguam, dikalahkan Kamalanathan dalam pilihan raya kecil itu pada 25 April tahun ini dengan majoriti 1,725 undi.

Dalam hujahya, Firoz berkata Zaid juga membuat dakwaan dalam petisyen beliau kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi ejen Kamalanathan, tetapi gagal mengemukakan sebarang fakta untuk menunjukkan Kamalanathan telah "melantik" sebarang ejen.

Kata beliau, Zaid juga tidak menunjukkan wujud unsur "tawar-menawar" melalui janji dan janji balas oleh mana-mana pengundi yang dikenal pasti supaya mengundi calon BN dalam pilihan raya kecil itu.

Mengenai dakwaan Zaid dalam petisyennya bahawa janji telah dibuat untuk mendirikan dua bangunan baru sekolah Cina dan sumbangan wang, Firoz berkata perkara itu bukan merupakan amalan rasuah atau sogokan mengikut Seksyen 32(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya kerana ia merupakan janji yang dibolehkan dalam pilihan raya kecil.

"(Pembangunan) Ini memberi manfaat kepada setiap orang di kawasan pilihan raya itu, tidak kira siapa yang mereka undi dalam pilihan raya berkenaan," katanya.

Firoz berkata petisyen itu mempunyai kecacatan kerana Zaid tidak memenuhi syarat bagi penyampaian atau penyerahan petisyen berkenaan kepada Kamalanathan.

Katanya notis berkenaan juga mempunyai kecacatan kerana ia menimbulkan kekeliruan tentang cara ia disampaikan dan mempunyai prejudis terhadap Kamalanathan.

Notis penyerahan petisyen itu juga mempunyai kecacatan kerana ia difailkan oleh sebuah firma guaman dan bukan oleh peguam bela seperti yang dinyatakan dengan jelas oleh undang-undang bahawa pempetisyen mestilah diwakili oleh peguam bela yang dinamakan, bukan oleh firma guaman, katanya.

Oleh itu, kata beliau, penyampaian dan penyerahan petisyen berkenaan secara realitinya dibuat oleh "orang yang tidak dikenali", iaitu firma guaman dan menyebabkan timbulnya kekeliruan dan kesamaran kepada anak guamnya.

Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azahar Mohamed, yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya, disambung esok. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan