Peragut Dipenjara Lima Tahun

Diterbitkan: Rabu, 21 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pengawal keselamatan sanggup meragut seorang siswi Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang dalam perjalanan ke kuliah atas dakwaan kesempitan wang.

Bagaimanapun, Hairul Azuan Abdul Rahman, 33, ‘tersilap langkah’ apabila mangsa, Juliza Jamaluddin mengejarnya sebelum merempuh motosikal lelaki itu menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh.

Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun terhadap Hairul Azuan selepas menerima pengakuan salahnya.

Hakim Latifah Mohd Tahar memerintahkan tempoh hukuman terhadap tertuduh berkuatkuasa daripada tarikh dia ditangkap, iaitu 15 Julai lalu.

Tertuduh yang bekerja di syarikat parkir lori didakwa meragut beg tangan Juliza yang mengandungi dompet, telefon bimbit jenama Sony Ericson, kad pelajar dan lesen memandu serta kad pengenalan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 8.15 pagi, 15 Julai lalu di Jalan Persiaran raja Muda, Seksyen 3, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Akmalhana Mohammed mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Fakta menyatakan, tertuduh masih cuba melarikan diri selepas terjatuh tetapi gagal selepas jeritan mangsa yang meminta tolong didengari dua anggota polis yang kebetulan berada di situ.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan