Mahkamah Tolak Rayuan Pegawai Polis Terima Rasuah RM5,000

Diterbitkan: Selasa, 20 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pegawai polis pada Selasa gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengenepikan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM50,000 atas dua kesalahan meminta dan menerima rasuah RM5,000 daripada seorang penjual goreng pisang, lima tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Siti Mariah Ahmad dalam keputusannya mengekalkan hukuman dan sabitan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kajang ke atas Chief Inspektor Lupiamir Rustam, 45.

Pada 20 Januari lepas, Lupiamir dijatuhi hukuman 12 bulan penjara dan denda RM25,000 bagi kesalahan meminta suapan RM5,000 dan 12 bulan penjara dan denda RM25,000 bagi kesalahan menerima wang rasuah itu daripada Zaiton Omar.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Cheras Perdana, Cheras pada 17 dan 18 Nov 2005 sebagai dorongan untuk menukarkan seksyen kesalahan yang ringan ke atas Kamarul Iskandar Said, anak Zaiton yang ditangkap kerana memiliki dadah.

Dia dituduh mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara minimum 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana satu yang lebih tinggi.

Bagaimanapun Mahkamah Sesyen membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi menangguhkan hukuman sementara menanti rayuan.

Pada prosiding rayuan pada Selasa, Siti Mariah berkata selepas diteliti rekod rayuan dan hujahan, mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkilaf dalam menyabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman ke atas perayu dalam kedua-dua pertuduhan.

Lagipun pembelaan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan hanya dalam bentuk penafian semata-mata, katanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan Lupiamir diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin untuk menangguhkan hukuman sementara mengemukakan rayuan.

Lupiamir diwakili peguambela Imran Hadzalie Abdul Hamid manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Hizween Azleena Othman Kamal. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan