Penganggur Dipenjara Dua Tahun, Denda RM2,000 Kerana Mencuri

Diterbitkan: Isnin, 19 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM2,000, dan sekiranya gagal membayar denda dipenjara empat bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri, April lepas.

Majistret Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Ratnakumar, 37, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu. Tertuduh juga gagal menjelaskan denda itu.

Tertuduh bersama seorang suspek yang masih bebas didakwa memecah masuk sebuah rumah dan mencuri seutas rantai emas bersama loket, sebuah telefon bimbit jenama Nokia, sebiji subang emas, wang tunai RM150 dan wang tunai dolar Singapura $254 (RM1=$2.33), yang keseluruhannya bernilai RM3,000 milik Lim Yew Keong, 54.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Blok 56-04-01, Flet Seri Sabah, Cheras antara 12.30 tengah hari hingga 3.20 petang, pada 3 April 2010.

Ratnakumar didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 11 tahun dan boleh didenda.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah memasuki rumah mangsa dengan memotong kunci jeriji besi dan mengumpil pintu ketika mangsa tiada di rumah dan apabila mangsa pulang, dia mendapati pintu rumahnya terbuka dan melihat tertuduh berada dalam biliknya.

Mangsa menjerit dan tertuduh cuba melarikan diri. Tertuduh akhirnya ditangkap oleh orang awam dan setelah diperiksa menjumpai barangan dan wang tunai yang dicuri dalam poketnya.

Terdahulu, Ratnakumar yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan ke atasnya berikutan dia mempunyai tanggungan keluarga dan mempunyai tiga anak yang masih bersekolah.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri memohon supaya hukuman yang berat dikenakan dengan alasan tertuduh mempunyai kesalahan lampau iaitu samun bersenjata dan rompak pada 2003 dan 2004. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan