Mahkamah Tolak Saman RM480 Juta Firma Aeroangkasa Terhadap Kementerian Pertahanan

Diterbitkan: Jumaat, 9 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Syarikat aeroangkasa Langkawi R&D Academy Sdn Bhd hari ini gagal dalam tuntutan saman bernilai RM480 juta terhadap kerajaan Malaysia dan dua lagi berhubung kontrak untuk menaik taraf pesawat pejuang Northrop F5 Tiger.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Patail menolak saman tersebut dan memerintahkan syarikat itu membayar RM20,000 kos guaman kepada defendan iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Menteri Pertahanan dan kerajaan.

Penghakiman bertulis akan dikeluarkan Jumaat depan.

Pada 6 April lepas, Hakim Abdul Wahab (sekarang merupakan Hakim Mahkamah Rayuan) telah meneliti dokumen yang difailkan oleh kedua-dua pihak dan dengan persetujuan mereka, beliau memutuskan keputusan kes itu akan berdasarkan penghujahan bertulis mengenai isu-isu yang dibicarakan tanpa memanggil saksi.

Langkawi R&D memfailkan saman tersebut berhubung penamatan kontrak manakala defendan dalam pernyataan pembelaannya mendakwa syarikat itu gagal untuk memberi perkhidmatan dan kontrak itu diberi kepada pihak lain.

Plaintif menuntut ganti rugi RM48 juta untuk penamatan kontrak tersebut dan menuntut RM432 juta bagi ganti rugi kehilangan kontrak pada masa akan datang, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif-relif lain.

Dalam saman yang difailkan pada 2005, syarikat itu menyatakan telah menandatangani perjanjian dengan defendan pada 11 Jan 2001 bagi kerja-kerja peningkatan taraf pesawat pejuang berkenaan.

Menurut perjanjian, defendan akan membayar sebanyak RM4.8 juta setahun untuk tempoh maksimum 10 tahun dan jika terdapat pelanggaran perjanjian oleh plaintif, defendan harus memberi notis bertulis yang munasabah dan penamatan hanya boleh dibuat selepas 30 hari notis itu.

Syarikat itu berkata ia telah melantik CAS Ltd sebagai sub-kontraktor untuk perkhidmatan menaik taraf pesawat itu tetapi telah menghentikan perkhidmatan syarikat itu pada 26 Januari 2002 kerana tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh CAS Ltd.

Langkawi R&D Academy mendakwa defendan tanpa pengetahuan plaintif telah mengadakan perbincangan dengan CAS Ltd untuk mengambil-alih perkhidmatan dan plaintif telah dihalang memasuki pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth untuk meneruskan tugasannya.

Plaintif menyatakan pada 21 Mei 2002, akhbar The Malay Mail melaporkan CAS Ltd telah memperoleh kebenaran daripada pihak defendan untuk meneruskan kerja-kerja menaik taraf pesawat tersebut.

Syarikat itu mendakwa menerima surat penamatan kontrak daripada defendan pada 6 September 2002 untuk menamatkan perjanjian itu atas alasan bahawa plaintif gagal mengemukakan bon pelaksanaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kontrak ditandatangani dan gagal menghantar satu unit 'flyable technology demonstrator' sebelum 15 Oktober 2001, sebagaimana diperuntukkan perjanjian itu.

Bercakap kepada media, pengasas Langkawi R&D Academy Mohammad Abdullah, berkata beliau akan merayu terhadap keputusan itu. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan