Juruanalisis Menang Kes Saman Terhadap Hospital Pusrawi

Diterbitkan: Jumaat, 9 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Rosemah (tengah) tidak dapat menahan sebak apabila menerima berita gembira itu.
Rosemah (tengah) tidak dapat menahan sebak apabila menerima berita gembira itu.

KUALA LUMPUR: Pengorbanan isteri seorang juruanalisis yang turun naik Mahkamah Tinggi di sini selama tiga tahun, untuk mendapatkan ganti rugi bagi pihak suaminya yang mengalami kecederaan otak selepas menjalani pembedahan tulang belakang di Hopital Pusrawi akhirnya terjawab.

Hanya ucapan syukur yang mampu diucapkan Rosemah Ibrahim semasa menerima khabar gembira apabila Hakim Datuk Abdul Wahab Patail membenarkan saman yang difailkan oleh suaminya, Roslan Mohd Ali. Hakim Datuk Abdul Wahab kini telah dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan.

“Syukur, Alhamdulillah. Selepas tiga tahun, saya akhirnya dapat memberikan yang terbaik buat suami saya. Terima kasih kepada semua, peguam dan kawan-kawan yang banyak menolong dengan mendoakan kami,” ujar Rosemah dalam tangisan gembiranya.

Dia yang ditemani anaknya, Nur Eliza, 20, dan ahli keluarga yang lain menerima keputusan itu daripada peguam mereka,Cheow See. Roslan sehingga kini masih terlantar di rumah.

Terdahulu, Abdul Wahab membenarkan saman yang difailkan Roslan selaku plaintif terhadap empat defendan, iaitu hospital itu yang terletak di Jalan Tun Razak, di sini dan tiga doktornya kerana didakwa cuai.

“Permohonan plaintif dibenarkan terhadap semua defendan dengan kos RM20,000 untuk setiap defendan. Jumlah ganti rugi akan ditafsirkan oleh Timbalan Pendaftar kemudian,” kata Abdul Wahab pada penghakiman lisannya.

Dalam kes ini, Roslan, 47, yang merupakan juruanalisis kanan Bank Simpanan Nasional menuntut ganti rugi lebih RM500,000 daripada defendan-defendan kerana didakwa cuai dan menyebabkan kecederaan otak sehingga beliau tidak sedarkan diri pada Januari 2007 selepas menjalani pembedahan.

Saman yang difailkan pada 2 Februari 2007 itu turut menamakan pakar anesthesia, Dr Ainy Md Aris, pakar ortopedik, Dr Mohd Ismail Maulud dan pakar ortopedik dan trauma, Dr Didi Indra Tiahya sebagai defendan.

Roslan dalam penyataan tuntutannya pada 1 September 2006 mendakwa telah menjalani satu pembedahan akibat kesakitan di bahagian belakang yang menurut doktor hanya mengambil masa selama dua jam.

Dakwanya lagi, ketiga-tiga doktor tersebut secara bersama dan/atau berasingan telah menjalankan tugas dengan cuai sehingga menyebabkan tiub ‘endotracheal’ yang membekalkan oksigen kepadanya telah tersasar keluar daripada saluran pernafasan semasa membetulkan kedudukannya daripada terlentang kepada meniarap yang mengakibatkan pernafasannya terhenti kerana tiada bekalan oksigen.

Plaintif mendakwa lagi, ujian EEG (electroencephalogram) yang dibuat terhadapnya selepas pembedahan itu mengesahkan beliau mengalami kerosakan otak akibat kekurangan bekalan oksigen sehingga menyebabkan dia dirawat di Unit Rawatan Rapi selama 22 hari.

Plaintif seterusnya mendakwa, akibat kecuaian itu, beliau mengalami kerosakan otak yang teruk, iaitu otaknya tidak dapat berfungsi dengan normal dan menjadikan beliau seperti ‘bangkai bernyawa’ yang memerlukan penjagaan berterusan.

Justeru itu, beliau menuntut ganti rugi teladan dan punitif berjumlah RM500,000 dan ganti rugi khas iaitu kehilangan pendapatan RM5,687 sebulan bermula 2 Februari 2007 dan berterusan, gantirugi khas beserta faedah pada kadar empat peratus setahun, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan