Permohonan Anwar Batal Saman Musa Hassan 14 Julai

Diterbitkan: Rabu, 7 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Sivil di sini Rabu, menetapkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan saman fitnah Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan terhadapnya berhubung siasatan insiden 'mata lebam' 1998 pada 14 Julai ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Prasad Sandosham Abraham menetapkan tarikh itu sebagai penjelasan selepas mendengar peguam kedua-dua pihak berhujah.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu diwakili peguam Sankara Nair manakala peguam Kamarul Hisham Kamaruddin bertindak bagi Musa.

Terdahulu, Sankara menghujahkan bahawa anak guamnya berada dalam keadaan perlindungan mutlak semasa membuat laporan polis yang didakwa mengandungi perkataan fitnah tersebut.

"Defendan juga masih berada dalam keadaan perlindungan mutlak pada sidang media selepas laporan itu dibuat kerana beliau menyatakan perkara yang sama," tambahnya.

Bagaimanapun, Kamarul membidas hujahan itu dengan mangatakan meskipun laporan polis merupakan perlindungan mutlak, keadaan itu tidak terpakai semasa defendan mengulangi perkataan yang didakwa memfitnah itu pada sidang media.

Dalam kes ini, Anwar memfailkan permohonan untuk membatalkan saman selepas Musa memfailkan saman fitnah yang tidak dinyatakan jumlah gantiruginya pada 21 Julai 2008 berhubung laporan polis yang dibuat defendan kerana didakwa mengandungi penyataan berbaur fitnah.

Laporan polis yang dibuat pada 1 Julai 2008 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendakwa Musa dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mereka-reka keterangan dan menyembunyikan fakta mengenai serangan fizikal yang dialaminya semasa ditahan polis pada 1998.

Musa selaku plaitif dalam penyataan tuntutannya menyatakan, laporan polis itu mendakwa dirinya dan Abdul Gani menyembunyikan fakta mengenai serangan KPN semasa itu, Tan Sri Rahim Noor.

Dakwa Musa lagi, Anwar selaku defendan telah bertindak dengan niat jahat untuk merosakkan, memburukkan dan mengaibkannya serta reputasi peribadi dan profesionalnya.

Plaintif mendakwa, beliau melalui peguam caranya telah menghantar surat tuntutan pada 11 Julai 2008 supaya defendan menarik balik perkataan fitnah dan tohmahan itu serta membuat permohonan maaf, jika tidak akan dikenakan tuntutan ganti rugi RM5 juta.

Ketua Pembangkang itu bagaimanapun didakwa tidak mengendahkan surat tuntutan tersebut dan terus menerbit atau menyebabkan fitnah itu disiarkan di laman web dan laman blog.

Musa menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, kos, lain-lain relif dan faedah lapan peratus setahun ke atas penghakiman mulai tarikh penerbitan fitnah dan tohmahan lisan berkenaan.

Beliau juga menuntut perintah injunksi menghalang Anwar, melalui ejen atau petugasnya, dalam apa cara sekalipun daripada terus menerbit atau mengakibatkan penerbitan perkataan fitnah dan tohmahan lisan itu atau yang berkaitan dengannya.

Anwar dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 24 Oktober 2008 menyatakan, laporan polis itu dibuat bagi mendapatkan pembelaan dan kewajaran.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan