Penyambut Tetamu Kelab Dangdut Dibicara Tuduhan Aniaya Anak

Diterbitkan: Rabu, 7 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang penyambut tetamu di kelab dangdut akan dibicarakan di Mahkamah Majistret di sini pada September ini atas tuduhan melakukan penganiayaan terhadap anak lelakinya yang berusia tiga bulan sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Majistret Zaki Asyraf Zubir pada prosiding Rabu, menetapkan perbicaraan terhadap Noriza Mhd Nor berjalan selama dua hari bermula 20 September ini.

Pada prosiding itu, tertuduh masih tidak diwakili peguam manakala Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias mewakili pihak pendakwaan.

Noriza, 32, yang bekerja di Kelab Dangdut Mawar Biru di Jalan Sultan Ismail di sini, didakwa kali pertama pada 6 Jun lalu kerana melakukan kesalahan itu terhadap Mohd Hazman Haziq Abdullah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 23 dan 27 Mac lalu di nombor 315, Jalan Sultan Sulaiman, Dang Wangi di sini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada pukul 2.45 petang, 27 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM2,000 jika sabit kesalahan.

Laporan media sebelum ini menyatakan, mangsa ditemui dalam keadaan tidak bernafas oleh pengasuhnya di rumah di Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap pada pukul 10.45 pagi, 26 Mei lalu.

Tertuduh sebelum ini ditangkap bersama teman lelakinya yang bekerja sebagai deejay di kelab dangdut tersebut.

Bagaimanapun, teman lelaki tertuduh telah dibebaskan dengan jaminan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan