Jaminan Tertuduh Curi Enjin Jet TUDM Dikurangkan

Diterbitkan: Selasa, 6 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Setelah enam bulan berada di penjara akibat tidak mampu membayar jaminan, seorang Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang didakwa bersubahat mencuri dua enjin pesawat TUDM kini boleh menarik nafas lega selepas jumlah itu dikurangkan.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Su Geok Yiam pada keputusannya Selasa, mengurangkan jumlah jaminan N.Tharmendran kepada RM50,000 iaitu tiga kali ganda lebih ringan daripada jumlah asal RM150,000 sebelum ini.

Beliau yang menetapkan jaminan tersebut dengan seorang penjamin turut memerintahkan supaya tertuduh menyerahkan pasportnya ke mahkamah.

Difahamkan, bapa tertuduh N.Nagarajan akan menjelaskan jaminan itu pada Rabu.

Buat masa ini, tertuduh berada di Penjara Sungai Buloh, dekat sini, ekoran tidak mampu menjelaskan jaminan yang ditetapkan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Aslam Zainuddin pada 6 Januari lalu.

Pada penghakimannya, Geok Yiam berpuas hati bahawa permohonan Tharmendran, 42, untuk mengurangkan jaminan mempunyai merit selain jaminan asal adalah terlalu tinggi untuk dijelaskan seorang penjawat awam.

Beliau terdahulu mendengar hujahan peguam N.Surendran dan M.Manogaran yang mewakili tertuduh dan juga Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir dan Hamidi Mohd Noh serta meneliti rekod prosiding Mahkamah Sesyen.

Geok Yiam menambah, berdasarkan afidavit pihak pendakwaan, tidak dinyatakan bahawa tertuduh mempunyai kemungkinan untuk melarikan diri.

“Tertuduh menanggung ibu bapanya yang sudah tua, seorang anak perempuan dan juga seorang abang yang lumpuh.

“Jaminan hanya untuk memastikan kehadiran seorang tertuduh di mahkamah dan jumlah yang terlalu tinggi seolah-olah menghukum tertuduh,” ujarnya lagi.

Selain itu, Geok Yiam menambah, hakim sebelum ini telah terkhilaf dalam mempertimbangkan prinsip dalam menetapkan jumlah jaminan tersebut.

Terdahulu, Manogaran menghujahkan bahawa jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan adalah terlalu tinggi dan tidak mampu dijelaskan tertuduh yang hanya berpendapatan bersih RM1,500 sebulan.

“Tambahan pula, barang yang menjadi subjek dalam kes ini, iaitu dua enjin pesawat telah pun dijumpai di Uruguay dan proses untuk membawanya pulang sedang dilakukan.

“Pihak pendakwaan memberi alasan isu keselamatan negara dalam menawarkan jaminan itu. Saya hujahkan jika benar ia isu keselamatan, mengapa tertuduh ditawarkan jaminan?,” katanya.

Surendran pula menghujahkan bahawa enjin pesawat itu adalah buatan 1972 dan disimpan di dalam gudang kerana tidak digunakan.

Bagaimanapun, Syed Faisal membalas hujahan itu dengan mengatakan sebuah pesawat pejuang berharga jutaan ringgit kerana dilengkapi dengan pelbagai senjata.

“Pesawat itu tidak boleh berfungsi tanpa enjinnya dan saya hujahkan pelaburan berjuta ringgit itu hanya sia-sia dan tidak berbaloi,” tambahnya.

Dalam kes ini, Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Yusop untuk mencuri dua enjin pesawat F5 Jenis J85-21 itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi, dekat sini.

Dia yang mengaku tidak bersalah akan dibicarakan pada 19 hingga 23 Julai ini.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan