Bekas Pembantu Am Rendah Dipenjara Dan Denda Kerana Keluarkan Fail Mahkamah

Diterbitkan: Selasa, 6 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang bekas pembantu am rendah Mahkamah Klang dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan menerima wang RM2,700 sebagai upah mengeluarkan dua buah fail Mahkamah Majistret Klang, dua tahun lepas.

Hakim Mat Ghani Abdullah memerintahkan tertuduh, Mohd Ariffin Saharudin, 39, dipenjara empat bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Mohd Ariffin yang kini bekerja sebagai buruh di ladang cili, didakwa telah menerima wang tunai itu daripada bekas pegawai pemasaran, Harvind Singh di hadapan CIMB Bank, Jalan Tengku Kelana, Klang, kira-kira pukul 4.45 petang pada 19 Mac 2008.

Mat Ghani turut menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM8,000 ke atas Harvind, 36, selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan menerima RM300 daripada seorang ejen pemasaran hartanah P.Reynolds De Silva, kira-kira pukul 4.30 petang di tempat dan tarikh yang sama.

Harvind yang kini seorang kakitangan sebuah syarikat penghantaran didakwa menerima suapan itu sebagai galakan bagi mendorong Mohd Ariffin yang semasa kejadian bertugas sebagai pembantu am rendah Mahkamah Klang supaya mengeluarkan dua buah fail Mahkamah Majistret bernombor M387-821-06 dan M387-171-07.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohd Ariffin sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 iaitu secara rasuah memperoleh suapan daripada Harvind sebagai upah untuknya mengeluarkan dua fail Mahkamah Majistret tersebut.

Harvind sebelum ini juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 10(a)(aa) akta sama, iaitu menerima suapan RM6,000 daripada P.Reynolds sebagai upah bagi mengeluarkan fail Mahkamah Majistret yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Baharuddin Ahmad Kassim sementara Mohd Ariffin dan Harvind diwakili peguam Gurdip Singh dan Datuk Sukhdev Singh Randhawa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan