Dua Penganggur Dibicarakan Semula Dalam Kes Rompakan Bersenjata

Diterbitkan: Isnin, 5 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi supaya diadakan perbicaraan semula kes rompakan bersenjata membabitkan dua penganggur pada 2004.

Hakim-hakim Datuk Hasan Lah, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Sulaiman Daud sebulat suara menolak rayuan pendakwaan supaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Muar bahawa mereka telah dibicarakan secara tidak adil.

Perbicaraan semula S.Murthu, 33, dan V.Veerakumar, 28, di Mahkamah Sesyen Muar dijadual Rabu ini.

Mereka didakwa bersama seorang lagi lelaki, A.Sarawanan, dan dijatuhi hukuman kerana melakukan rompakan bersenjata terhadap tiga lelaki warga Nepal membabitkan wang tunai dan barang kemas bernilai RM2,500 di sebuah rumah di Batu 7, Jalan Bakri, Muar, Johor pada 2.20 pagi 6 Jun, 2004.

Sarawanan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lapan sebatan manakala dua lagi tertuduh masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun serta lapan sebatan.

Pada 24 Julai, 2008, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan oleh Murthu dan Veerakumar supaya diadakan perbicaraan semula tetapi menolak permohonan Sarawanan kerana beliau melarikan diri.

Perbicaraan asal mereka bertiga bermula pada 16 Jun 2004 dan ketiga-tiga lelaki terbabit diarah membela diri pada 27 April 2007.

Pada Mei 2007, ketiga-tiga tertuduh memohon kepada Mahkamah Sesyen supaya memberi tempoh sebulan untuk mendapatkan peguam baru memandangkan peguam mereka sebelum ini menarik diri daripada mewakili mereka dalam kes itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Norazlan Ahmad membenarkan permohonan itu tetapi menyatakan bahawa perbicaraan akan diteruskan sungguhpun jika mereka gagal melantik peguam.

Pada 21 Jun 2007, peguam baru mereka tidak hadir di mahkamah dan penangguhan tidak dibenarkan dan hakim mendapati sehingga 10.45 pagi, tiada faks diterima daripada peguam baru.

Perbicaraan disambung semula dan ketiga-tiga tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukuman.

Dalam prosiding hari ini, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Murthu dan Veerakumar, berhujah bahawa pemeriksaan dalam fail mahkamah menunjukkan peguam terbabit ada menghantar faks kepada mahkamah memohon supaya kes itu ditangguhkan.

Beliau berkata ia merupakan penyalahgunaan budi bicara secara terang-terangan oleh Hakim Mahkamah Sesyen.

Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, dalam hujahnya, berkata perkara berhubung penangguhan kes merupakan budi bicara hakim dan tertuduh telah pun diberi amaran yang secukupnya. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan