Kerajaan Dibenar Tangguh Perintah Dedahkan Dokumen Audit, Konsesi Air

Diterbitkan: Jumaat, 2 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan hari ini mendapat kebenaran menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi, yang memerintahkannya mendedahkan laporan audit dan perjanjian konsesi air yang ditandatangani dengan kerajaan Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), sementara menunggu rayuan.

Kerajaan Persekutuan, yang memfailkan rayuan pada Rabu diperintahkan untuk mendedahkan dua dokumen itu menjelang Isnin ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Hadhariah Syed Ismail, yang mengeluarkan perintah itu pada Isnin lepas, membenarkan penangguhan keputusan dalam saman dikemukakan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan 13 yang lain memohon agar semakan kehakiman bagi mendapatkan akses maklumat dokumen berkenaan.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan hari ini berhujah bahawa pendedahan dokumen berkenaan akan menjejaskan pentadbiran harian jentera kerajaan dan kepentingan orang ramai secara keseluruhannya.

Beliau berkata laporan audit tidak boleh didedahkan kerana dokumen itu diklasifikasikan sebagai sulit dan rahsia mengikut Seksyen 2A Akta Rahsia Rasmi 1972. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan