Bapa Enam Anak Dipenjara 10 Tahun Miliki Kanabis

Diterbitkan: Selasa, 22 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Seorang bapa kepada enam anak hari ini dipenjara 10 tahun dengan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku memiliki 372 gram dadah jenis kanabis.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yassin bagaimanapun memerintahkan Shaharizam Amarang, 35, menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap iaitu 20 Dis tahun lepas.

Dalam penghakimannya, Ahmad Nasfy berkata, tertuduh sepatutnya menyedari bahaya dadah terutama kerana dia sudahpun berkeluarga. Shaharizam mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Batu 8, Jalan Mantin-Seremban di sini, pada 1.15 pagi, 20 Dis tahun lepas.

Dia dihukum mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dengan 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur A'minahtul Mardiah Md Nor manakala Shaharizam diwakili peguam Mohd Tajudin Abd Razak. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan