Ahli Perniagaan Didapati Bersalah Urus Dana Pelaburan Tanpa Lesen

Diterbitkan: Selasa, 22 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan disabitkan bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan bertindak sebagai pengurus wang dana tanpa lesen melalui Internet antara Januari dan Jun, tiga tahun lalu.

Hakim S.M.Komathy turut menyabitkan tertuduh, Phazaluddin Abu, 47, atas tiga lagi pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram yang berjumlah RM1.34 juta.

Pada penghakimannya, Komathy berkata, pembelaan tertuduh yang menafikan ada memiliki dan menguruskan laman web tersebut, www.danafutures.com sebagai tidak menyakinkan dan tidak boleh dipercayai.

Beliau juga sukar untuk menerima pembelaan tertuduh bahawa laman web itu dimiliki oleh seorang yang bernama Maidin yang didakwa telah berjumpa tertuduh dan menawarkan peluang bagi kerja-kerja mereka semula laman web tersebut.

“Adalah pelik untuk tertuduh tidak mengetahui nama penuh Maidin. Sukar dipercayai bahawa tiada dokumen pejabat yang dapat menunjukkan Maidin adalah pelanggan tertuduh. Sudah pasti Maidin akan dikenakan bayaran bagi kerja yang dilakukan,” ujar Komathy.

Justeru itu, Komathy memutuskan bahawa pembelaan yang diberikan tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Beliau menetapkan 7 Julai ini sebagai tarikh untuk mendengar rayuan tertuduh yang berasal dari Petaling Jaya, dekat sini sebelum menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti, Susheel Kaur.

Phazaluddin disabitkan bersalah mengemukakan diri sebagai pengurus dana wang tanpa lesen melalui laman web itu antara 3 Januari dan 22 Jun 2007 di Affliate Shoppers Network, nombor 14, tingkat 1, Jalan Opera C, U2/C, TTDI Jaya, Shah Alam, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 15A(1) Akta Industri Sekuriti 1983 (Akta 280) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15C akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam J.Chandra juga didakwa menerima wang daripada hasil haram sebanyak RM860,000 di CIMB Bank Berhad, Menara MRCB Shah Alam, antara 25 Januari dan 23 Februari 2007.

Dia juga didakwa menerima wang daripada hasil haram berjumlah RM109,724 antara 8 Januari dan 12 Februari 2007 di Malayan Banking, Bangunan SCC Kluang, Johor.

Kedua-dua wang itu didakwa diterima melalui akaun Affliate Shoppers Network.

Phazaluddin juga menghadapi satu lagi pertuduhan menerima wang daripada hasil haram melalui akaun B.Rathimalar di Hong Leong Islamic di Seremban antara 22 Februari dan 7 Mac 2007.

Semua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan