Pemilik Kilang Mengaku Tidak Bersalah Sogok Pegawai TNB

Diterbitkan: Jumaat, 18 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pemilik kilang plastik, Lim Hong Liok, 60, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dakwaan memberi rasuah kepada seorang pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB), dua bulan lalu.

Suapan yang bernilai RM30,000 itu didakwa diberikan kepada Pengurus Kanan Unit Siasatan dan Risikan TNB, Rumaizi Mohd Amin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap tertuduh yang mencuri arus elektrik di kilangnya.

Tertuduh yang merupakan pemilik Kilang Central Production Sdn Bhd di Lot 6629, Kilometer 2, Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor didakwa melakukan kesalahan itu di bilik air lelaki Hotel Crystal Crown di Jalan Utara, Petaling Jaya pada pukul 1 petang, 28 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Josiendra Abu Senin mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dihukum di bawah Seksyen 27 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan yang mana lebih tinggi.

Hakim Mat Ghani Abdullah menetapkan jaminan tertuduh sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin selepas peguam Datuk Abdul Ramman Saad yang mewakili tertuduh tidak membantah jumlah itu yang ditawarkan pihak pendakwaan.

Mat Ghani juga menetapkan 15 Julai ini sebagai sebutan penyerahan dokumen manakala perbicaraan akan dijalankan selama tiga hari bermula 22 November depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan