Lima Lelaki Dan Dua Wanita Didakwa Edar Dadah

Diterbitkan: Jumaat, 18 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Lima lelaki dan dua wanita termasuk tiga rakyat asing, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap tiga pertuduhan mengedar dadah.

Mereka ialah peniaga Goh Eng Tee, 35, dari Muar Johor, peniaga Sow Teik Lee, 34, dari Batu Maung Pulau Pinang; kontraktor Emery Shazmal Abd Malek, 34, dari Keramat Kuala Lumpur; suri rumah, Teo Bee Keng, 34, dari Ujong Pasir di sini; pembantu rumah, Tursini Turida, 20, dari Jawa Barat; peniaga Lin Xiven, 27, dan peniaga Ye Yu Feng, 26, dari Guandong, China.

Bagi pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa bersama-sama mengedar 11,704 gram pil ecstacy di sebuah rumah di Taman Semabok Permai di sini, pada pukul 1.30 pagi 4 Jun lepas.

Bagi pertuduhan kedua, kesemua mereka dituduh bersama-sama mengedar 350.5 gram syabu di tempat dan masa sama manakala pertuduhan ketiga, mereka didakwa bersama-sama mengedar 1,754.97 gram ketamin di tempat dan masa sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan dicatatkan daripada kesemua tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dan mereka tidak dibenarkan ikat jamin.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Salwa Mhd Asrar.

Majistret Muzila Mohamed Arsad menetapkan 23 Julai untuk sebutan semula kes bagi pihak pendakwaan mengemukakan laporan kimia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan