Warga Indonesia Dipenjara, Didenda RM10,000 Rasuah Polis

Diterbitkan: Khamis, 17 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang tukang sapu lebuh raya warganegara Indonesia dijatuhi hukuman penjara sebulan dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberi suapan RM100 kepada seorang konstabel polis, Ahad lepas.

Hakim Mat Ghani Abdullah turut memerintahkan tertuduh, Rahem, 30, menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Rahem didakwa memberi suapan kepada konstabel Mohd Zuraimie Hisham Mat Noor, anggota polis Pasukan Gerakan Am, Kem Bukit Galing, Kuantan, Pahang, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan 7-Eleven No: 53, Jalan Kosas 1/3, Taman Kosas, Ampang, kira-kira pukul 5 petang pada 13 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Rahem yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia menerima gaji RM28 sehari dan perlu menanggung isteri dan seorang anak yang sakit di Indonesia.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Mohd Asnawi Abu Hanipah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan