Ibu Tunggal Mengaku Tidak Bersalah Merompak

Diterbitkan: Khamis, 17 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak seorang ahli perniagaan menggunakan pisau di sini, tiga tahun lepas.

Ong Lai Fong, 37, atau nama Islamnya Nur Hidayah Jasmin Abdullah didakwa dengan niat merompak wang tunai RM49,000 daripada Leong Kok Hoong, 32, di Jalan Besar Kepong berhampiran kedai Pajak Gadai Sinthye Tong (Lian Kee), Sentul pada 3.25 petang, 6 Jun 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun hingga 14 tahun dan boleh didenda dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Mohd Yusoff mencadangkan mahkamah supaya mengenakan jaminan RM20,000 berikutan kesalahan yang dilakukan Ong adalah serius.

Bagaimanapun, peguam Leonard Anselm Gomes yang mewakili Ong memohon supaya mahkamah mengenakan jaminan RM5,000 memandangkan anak guamnya tidak bekerja dan perlu menjaga anak lelakinya berusia 13 tahun.

Hakim Zainal Abidin Kamarudin kemudian membenarkan Ong diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Julai depan untuk sebutan kes. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan