Pornthip Tidak Hadir Inkues Kerana Takut - Pendakwa

Diterbitkan: Rabu, 16 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Keengganan Pakar Forensik Thailand, Dr Pornthip Rojasunan untuk hadir memberi keterangan di Mahkamah Koroner bukan atas alasan keselamatan.

Sebaliknyua beliau didakwa bimbang tidak dapat mempertahankan keterangannya bahawa 80 peratus bukti bedah siasat kemungkinan Teoh Beng Hock dibunuh.

Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Abdul Razak Musa berkata, tiada bukti mengatakan wanita itu diancam dan dakwaan beliau menerima ugutan hanyalah cakap dengar.

Justeru itu, Abdul Razak memohon supaya permohonan Pornthip memberi keterangan menerusi sidang video ditolak.

Pornthip adalah pakar forensik yg dilantik kerajaan Selangor bagi inkues siasatan kematian Beng Hock.

“Sebelum ini, saya melihat Pornthip bebas ke mana sahaja termasuk ke kawasan perkuburan (semasa mayat Beng Hock digali semula). Beliau kelihatan ceria dan melayan beberapa wartawan,” katanya semasa berhujah membantah permohonan untuk pakar forensik itu memberi keterangan secara sidang video pada prosiding inkues di sini semalam.

Beliau menambah pakar forensik dengan fesyen rambut berwarna-warni itu juga kerap menghadiri mesyuarat di negara ini.

Selain itu, Abdul Razak juga menghujahkan perasaan fobia atau takut tidak seharusnya ada pada Pornthip memandangkan tiada tertuduh yang sedang dibicarakan dalam prosiding inkues tersebut.

Justeru itu, beliau memohon supaya permohonan graduan Universiti Mahidol, Thailand itu memberi keterangan menerusi sidang video ditolak.

Permohonan itu dibuat oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar yang bertindak sebagai peguam pemerhati Kerajaan Selangor mengikut Seksyen 272B Kanun Tatacara Jenayah.

Cuba mengaitkan dengan demam Piala Dunia, Abdul Razak menyifatkan keterangan Pornthip sebagai ‘4 gol berbalas 1’ kerana tidak dipersetujui oleh empat pakar forensik, termasuk Dr Peter Venezis yang didatangkan khas dari United Kingdom oleh SPRM.

Malik Imtiaz membantah kenyataan itu dengan berkata: “Ini bukan perlawanan. Tiada sesiapa yang menjaringkan gol”.

Abdul Razak seterusnya menghujahkan jika permohonan itu dibenarkan, dibimbangi akan memberikan implikasi kepada nas undang-undang seperti saksi berkepentingan yang tidak mahu hadir ke mahkamah ‘memberi keterangan di pejabat, rumah atau kafe berinternet’.

“Pornthip telah memberi keterangannya dan perlu menghabiskan tugasnya. Wajar untuk beliau hadir dan mempertahankan pendapatnya. Jika beliau tidak hadir, ia merupakan ketidakadilan terhadap SPRM yang ditohmahkan dalam kematian Beng Hock,” tegas beliau.

Beliau menambah, jika Pornthip memberi keterangan menerusi sidang video, tiada tindakan boleh diambil jika saksi tidak mematuhi peruntukkan undang-undang selain ia akan melibatkan kos yang tinggi.

Bagaimanapun Malik Imtiaz memberitahu, kerajaan Selangor bersedia untuk menanggung kos perbelanjaan tersebut.

Peguam Rajpal Singh yang mewakili Majlis Peguam Selangor pula menyokong permohonan itu kerana akan berlaku kelompangan dalam prosiding inkues jika Pornthip tidak menyambung keterangannya.

“Bagaimanapun ia mesti diadakan di Kedutaan Malaysia di Thailand supaya Pornthip masih berada di bawah undang-undang negara ini,” katanya.

Koroner Azmil Muntapha Abas kemudiannya memerintahkan semua pihak untuk memfailkan hujahan tambahan dan nas undang-undang berhubung isu tersebut pada Jumaat ini sebelum prosiding inkues bersambung 25 Jun ini.

Prosiding inkues diadakan ekoran kematian Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah pada 16 Julai 2009.

Kematiannya menimbulkan spekulasi kerana sebelum itu dia dipanggil memberi kenyataan mengenai dakwaan salah guna peruntukkan wang kerajaan negeri di pejabat SPRM di Plaza Masalam, di sini.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan