Ibu Tertuduh Minta Keluarkan Resit Palsu

Diterbitkan: Rabu, 16 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Ibu kepada pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil yang sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh Syafiah Humaira Sahari telah meminta seorang pembantu kedai jamu mengeluarkan resit pembelian ubat gamat dan pil sedangkan anaknya itu tidak pernah membeli ubat tersebut.

Saksi pendakwaan ke-29, Norhayati Mohd Yusof yang juga pembantu kedai jamu itu berkata, Nor Haziah Yusof dan empat yang lain datang ke kedai Aisyah Herbs Shop di Batang Kali, dekat sini, sekitar minggu lepas, iaitu selepas kes telah dibicarakan.

“Dia minta resit mengatakan anaknya ada beli ubat dari kedai saya. Mereka minta kerjasama saya keluarkan resit, tapi saya tidak bagi kerana saya tidak jual ubat itu,” katanya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Saksi yang begitu teruja menjawab soalan menambah, emak tertuduh membuat kecoh selepas pemintaan itu tidak dilayan.

Norhayati, 30, yang disoal Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani juga memberitahu, emak tertuduh mendakwa resit itu mahu digunakan sebagai rujukan mahkamah.

Saksi dengan nada yang tegas turut menafikan ubat gamat dan pil tersebut dijual di kedainya semasa ubat-ubatan itu yang dirampas dari bawah katil tertuduh ditunjukkan kepadanya.

“Minta maaf, tapi kedai saya memang tidak jual pil...,” katanya yang sebelum ini memberitahu kedai itu menjual jamu, minyak urut dan set rawatan muka.

Dia juga membantah cadangan peguam Gurbachan Singh yang mewakili tertuduh bahawa penafiannya ekoran ubat tersebut telah menyebabkan Syafiah Humaira, 3 tahun 4 bulan, muntah dan lemah.

“Muka dia (tertuduh) pun saya tidak pernah tengok,” tegasnya selepas diasak Gurbachan bahawa tertuduh ada ke kedainya pada petang 25 Februari lalu.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Kanan Cif Inspektor G.Mahesan dalam keterangannya mengakui siasatan terhadap kedai ubat itu hanya dilakukan Ahad lalu.

“Saya lakukan siasatan lewat kerana saya baru membaca rakaman percakapan tertuduh di mana tertuduh memberitahu ada membeli ubat,” jelasnya.

Mahesan, 30, yang berpengalaman selama lapan tahun turut mengakui beliau ada mengambil rakaman percakapan tertuduh walaupun perkara itu tidak sepatutnya dilakukan seorang pegawai penyiasat.

Bagaimanapun, Gurbachan kemudiannya memaklumkan mahkamah bahawa percakapan tertuduh sebenarnya dirakamkan oleh pegawai polis bernama Inspektor Noorsham Hanum Sharip.

Mengenai dakwaan tertuduh bahawa kecederaan Syafiah Humaira adalah disebabkan kemalangan jatuh motosikal, Mahesan berkata, siasatan tidak menemui kesan kemalangan pada kenderaan tersebut.

Dalam kes ini, Mohd Fazli Azri didakwa membunuh Syafiah Humaira pada pukul 6.30 petang, 25 Februari lalu, di padang bola, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Batang Kali.

Dia kini berhadapan dengan hukuman gantung jika disabitkan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan yang dijalankan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung esok.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan