Syafiah Humaira Sudah Meninggal Semasa Dibawa Ke Klinik

Diterbitkan: Khamis, 10 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM:Syafiah Humaira Sahari telah meninggal dunia semasa dibawa ke Klinik Neminder Singh oleh seorang lelaki yang mendakwa kanak-kanak itu terjatuh daripada motosikal.

Saksi pendakwaan ke-17, Dr Neminder Singh, 35, berkata, kanak-kanak itu diterimanya dalam keadaan tidak bergerak, tidak memberi sebarang tindak balas dan juga tidak sedarkan diri.

“Saya memeriksa nadi tetapi tiada. Anak mata pesakit juga tidak bertindak balas. Jantung pesakit juga tidak berdegup,” katanya di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Saksi yang disoal Timbalan Pendakwa Raya Zureen Elina Mohh Dom bagaimanapun tidak dapat mengecam kanak-kanak itu yang hanya diperiksanya dalam tempoh 3 hingga 5 minit.

Sementara itu, bekas kakitangan klinik tersebut, Nurul Azean Hamdan, 22, berkata, tertuduh, Mohd Fazli Azri Jamil mendakwa kejadian jatuh motor itu berlaku sehari sebelum dia dibawa ke klinik.

“Lelaki itu (tertuduh) kata isterinya tidak beritahu anak jatuh motor menyebabkan dia tidak tahu. Bila dia balik kerja nampak anak diam dan tak makan. Jadi dia bawa anak ke klinik,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-14, Dr S.Sevugan, 48, seorang Pegawai Perubatan Kanan di Hospital Kuala Kubu Bharu, dekat sini, berkata, beliau mendapati kecederaan Syafiah Humaira tidak konsisten dengan kecederaan jatuh motorsikal.

“Ini kerana menurut bapa pesakit (tertuduh) kanak-kanak itu jatuh dengan keadaan ke belakang. Bagaimanapun, pesakit tiada kecederaan luaran,” katanya. Sevugan yang disoal Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd Rashid juga merupakan doktor yang mengesahkan kematian Syafiah Humaira.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan peguam Gurbachan Singh yang mewakili tertuduh bahawa kecederaan yang dialami mangsa turut boleh berlaku jika kanak-kanak itu jatuh di bilik air yang basah.

Dalam kes ini, Mohd Fazli Azri, 28, seorang pemandu teksi didakwa membunuh Syafiah Humaira, 3 tahun 4 bulan pada pukul 6.30 petang, 25 Februari lalu di padang bola, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan