Pembantu Rumah Indonesia Kelar Leher Majikan Dipenjara 15 Tahun

Diterbitkan: Rabu, 9 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pembantu rumah Indonesia, Indah Wijayanti, 23, yang mengelar leher majikannya menggunakan pisau menyiang ikan dihukum penjara selama 15 tahun selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian majikannya, Kek Huey Lian, 41 tahun.

Indah Wijayanti, 23, mengaku salah mengelar leher Huey Lian, 41, sebanyak sembilan kali termasuk sekurang-kurangnya tiga hirisan dalam yang memutuskan salur darah utama mangsa.

Kejadian berlaku selepas mangsa, ibu kepada tiga orang anak itu menggunakan bahasa kesat dan membaling pinggan plastik ke arah tertuduh kerana tidak tidur bersama anak bongsu majikannya yang sakit.

Indah yang semasa itu sedang menyiang ikan kemudiannya pergi ke bilik tidur mangsa, menutup muka mangsa dengan suratkhabar yang sedang dibaca mangsa dan mengelar mangsa.

Laporan bedah siasat turut menunjukkan bahawa terdapat kesan mempertahankan diri pada tangan mangsa.

Peguam Jagdish Kaur yang mewakili Indah berkata, anak guamnya tidak tidur bersama anak mangsa disebabkan dia tidak sihat pada masa itu.

“Semasa Indah bersemuka dengan mangsa, dia masih memegang pisau yang digunakan. Tertuduh meminta pasportnya untuk pulang ke negara asal tetapi mangsa membaling pasport itu ke luar rumah.

“Tertuduh hilang kesabaran dan fikirannya buntu. Bagaimanapun, sifat lembut tertuduh dapat dilihat semasa dia masih menguruskan anak-anak mangsa walaupun dia berpeluang melarikan diri selepas kejadian berlaku,” katanya lagi.

Jagdish turut merujuk kepada laporan perubatan Hospital Bahagia yang mengesahkan bahawa tertuduh mengalami masalah kemurungan. Keadaan itu diburukkan lagi dengan keadaan tertuduh yang tidak mempunyai sesiapa di negara ini.

Timbalan Pendakwa Raya Isa Hassim pula memohon tertuduh dikenakan hukuman berat kerana perbuatan tertuduh bukan sahaja menyebabkan keluarga mangsa kehilangan anggota keluarga tetapi juga trauma selepas kejadian.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S Hassan Badjenid berkata, mahkamah sedaya-upaya menjatuhkan hukuman yang mencerminkan keadilan semua pihak.

“Dalam kes ini, ada ketidakserasian antara pembantu rumah dan majikan. Keadaan diburukkan apabila kedua-dua pihak terikat dengan perjanjian untuk satu tempoh tertentu.

“Tertuduh juga tidak mempunyai saluran untuk meluahkan masalah yang dihadapi sehingga menyebabkan dia tertekan ditambah dengan masalah kemurungan,” katanya yang memerintahkan hukuman bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap.

Indah mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian mangsa pada 2 Julai 2007, antara jam 1.30 dan 2.30 petang, di rumah nombor 19, Jalan Batu Unjur 4, Taman Bayu Perdana, Klang, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, suami mangsa, Phuah Kin Ong, 45, seorang ahli perniagaan berkata, beliau serik untuk mengambil pembantu rumah dan anak-anaknya berusia 13, 9 dan 7 kini dijaga emaknya yang sudah tua.

“Saya juga akan berbincang dengan peguam saya, Gerard Lazarus dan akan mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara supaya memfailkan rayuan terhadap tempoh hukuman tertuduh,” katanya.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan