Hukuman Mati Terhadap Nelayan Bunuh Isteri Dikekalkan

Diterbitkan: Jumaat, 4 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan sabit kesalahan dan hukuman mati terhadap seorang nelayan yang menyembelih isterinya sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi sebulat suara menolak rayuan Abdul Razak Dalek selepas memutuskan bahawa dia memang berniat untuk melakukan pembunuhan kerana dia boleh mengingati perbuatannya mengambil sebilah pisau untuk tujuan itu, yang juga menunjukkan bahawa dia sedar serta tahu apa yang dilakukannya.

Zaki bersidang bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri James Foong Cheng Yuen dan Datuk Seri Md Raus Sharif. Abdul Razak, 58, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Johor Baharu pada 2006 kerana membunuh Rozita Haron, 39, di rumah abangnya di Parit Pecah, Parit Jawa, Muar pada 3 Sept 2001. Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu.

Dalam penghakiman setebal 16 muka surat, Raus berkata mahkamah itu tidak menemui bukti mencukupi untuk dibuat kesimpulan bahawa Abdul Razak telah bertindak dalam keadaan tidak waras kononnya akibat gegaran yang dialaminya selepas dia menghentakkan kepalanya pada dinding dapur sebelum kejadian itu seperti yang dikatakan oleh pihak pembelaan.

Sebaliknya, kata Raus, bukti menunjukkan bahawa Abdul Razak mampu menceritakan secara terperinci perkara yang berlaku sebelum kejadian itu.

"Malah, sebelum kejadian, perayu (Abdul Razak) dan simati telah berbalas cakap dan ini menunjukkan bahawa perayu seorang yang waras dan mahu memujuk isterinya supaya menyelamatkan rumah tangga mereka yang bermasalah.

"Ketika itu, simati tidak lagi tinggal bersama Abdul Razak. Walaupun tidak diceraikan, simati meninggalkannya pada 2001.

"Abdul Razak tidak dapat menerima kata-kata Rozita pada hari itu bahawa hubungan mereka bukan lagi sebagai suami isteri, tapi hanya sebagai kawan, dan perayu memahami kata-kata simati bahawa antara mereka sudah tiada lagi hubungan," kata Raus.

Rozita, yang bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Muar Hospital, pulang ke rumah mereka bagi melawat anaknya Mohd Rafiz yang demam. Rumah mereka terletak tidak jauh dari rumah abang Abdul Razak.

Dalam keterangannya, Rokiah Dawi, kakak ipar Abdul Razak, berkata dia mendengar perayu berkata kepada simati, "Abang pegang Ita pun tak boleh. Ita kan masih isteri abang".

Rokiah berkata ketika dia sedang memanaskan nasi minyak di dapur rumahnya, dalam keadaan susah payah untuk berjalan, simati datang dari arah belakang lalu menepuk bahu kanannya serta memanggil namanya "Kak Kiah" sebelum rebah ke lantai.

Rokiah juga berkata dia nampak Abdul Razak menghantuk kepalanya pada dinding. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan