Tertuduh Tidak Tahu Rumah Bekas Majikan Muntik

Diterbitkan: Khamis, 3 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Tertuduh kes bunuh Muntik Bani memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia tidak menghantar pembantu rumah warganegara Indonesia itu balik ke rumah bekas majikannya kerana dia tidak tahu lokasi sebenar rumah itu walaupun mengetahui ia terletak di belakang rumahnya.

A.Murugan, 36, berkata dia juga sukar mencari lokasi sebenar rumah bekas majikan Muntik kerana sukar baginya untuk memahami bahasa pertuturan pembantu rumah itu.

"Saya ada cari rumah bekas majikan Muntik tetapi kebanyakan rumah di situ adalah rumah orang Cina dan pintu tertutup setiap kali saya pergi, jadi saya tidak tahu yang mana satu rumah bekas majikan Muntik," katanya ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Murugan, penjual air tebu, berkata demikian ketika membela diri atas tuduhan membunuh Muntik, 36, di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober tahun lepas dan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 26 Oktober tahun lepas setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Dalam keterangannya semalam, tertuduh berkata Muntik datang ke rumahnya pada penghujung September tahun lepas dalam keadaan rambut yang panjang ke paras bahu, kotor dan berkutu, muka berwarna gelap, kepala bengkak, badan sedikit bongkok, mempunyai bisul di kaki kanannya dan berjalan terhincut-hincut.

Tertuduh dalam keterangannya berkata ketika dia bertanyakan bagaimana Muntik mendapat kecederaan itu, pembantu rumahnya itu memberitahu bahawa dia dipukul dan didera oleh bekas majikannya.

Menyambung keterangannya Murugan berkata dia tahu bahawa Muntik tidak mempunyai pasport semasa hari pertama datang ke rumahnya dan tahu bahawa mengambil pembantu rumah yang tidak mempunyai pasport adalah satu kesalahan.

"Saya katakan awak tidak bersikap jujur bila menerima kehadiran Muntik kerana kalau awak betul-betul jujur dan kasihan pada Muntik awak akan ambil tindakan seperti cari majikan Muntik dan lapor kepada pihak berkuasa sebab Muntik tidak ada pasport," kata Mohd Dusuki.

"Saya ada ajak Muntik untuk pergi ke rumah majikan lamanya dan untuk lapor pada pihak berkuasa tetapi Muntik enggan mengikut saya," jawab Murugan.

Ketika ditanya peguam pemerhati bagi pihak Kedutaan Indonesia, T.Vijayandran mengapa dia tidak minta bantuan daripada pihak kedutaan sekiranya dia benar-benar bersimpati terhadap Muntik, tertuduh berkata dia tidak tahu di mana lokasi Kedutaan Indonesia.

Murugan berkata dia tidak tahu bahawa dia perlu pergi ke kedutaan untuk membuat pasport seorang warganegara asing seperti Muntik memandangkan dia hanya berpendidikan sehingga tingkatan tiga dan mempunyai tahap pemikiran yang rendah.

Tertuduh bagaimanapun menafikan bahawa dia adalah seorang yang bodoh dan dungu.

Murugan berkata demikian ketika menjawab kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam belanya V.Rajehgopal ketika pemeriksaan semula bahawa dia adalah seorang yang bodoh dan dungu kerana tidak berpendidikan tinggi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Yazid Mustafa disambung esok. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan