Dua Rakyat China Dipenjara, Denda Sebabkan Kematian Pelajar

Diterbitkan: Khamis, 3 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dua lelaki warga negara China dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana mengurung dan menyebabkan kematian seorang pelajar kolej yang mayatnya ditemui hampir reput dalam sebuah beg pakaian di Lebuhraya Damansara-Puchong empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid menjatuhkan hukuman itu selepas Liu Bing, 27, dan Li Meng, 28, mengaku bersalah terhadap kedua-dua tuduhan pindaan itu.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua Liu dan Li menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap, masing-masingnya pada 22 September 2006 dan 24 September 2006, serta memerintahkan kedua-duanya dipenjara setahun sekiranya gagal membayar denda itu.

Liu dan Li mengaku bersalah bersama-sama seorang lagi yang masih bebas menyebabkan kematian Tan Choo Mia, 19, di rumah No: 3, Jalan SS2/105, Petaling Jaya, antara 15 September 2006 dan 16 September 2006.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda. Bagi kesalahan itu Liu dan Li dijatuhi hukuman penjara lapan tahun.

Kedua-dua tertuduh juga mengaku bersalah bersama-sama seorang lagi yang masih bebas dengan mengetahui bahawa Tan telah diculik, telah menyembunyikan dan mengurung mangsa di tempat yang sama, pada 5.59 petang 15 September 2006.

Kesalahan di bawah Seksyen 368 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM100,000 atau penjara setahun. Siti Khadijah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan secara serentak.

Sebelum ini, Liu dan Li minta dibicarakan terhadap tuduhan melarikan dan mengurung Tan bagi mendapatkan wang tebusan US$100,000.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Semakan 1989) yang memperuntukkan hukuman gantung atau penjara seumur hidup dan boleh juga disebat jika tidak dikenakan hukuman gantung, jika sabit kesalahan.

Mereka bagaimanapun mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dipinda.

Berdasarkan fakta kes, pada 15 September 2006, bapa mangsa telah menerima satu SMS dari nombor 019-6040215 yang menyatakan bahawa anaknya telah diculik, dan menuntut US$100,000.

Siasatan polis menunjukkan bahawa penculikan telah dirancang oleh kedua-dua tertuduh dan seorang lagi yang masih bebas bernama "Zheng Hua".

Siasatan juga menunjukkan bahawa pada pagi 15 Sept 2006, mangsa telah ditangkap oleh "Zheng Hua" dan telah diikat serta mulutnya telah diletakkan dengan pita pelekat dan dikurung dalam bilik air di tingkat atas rumah itu.

Pada 1.30 tengah hari 15 September 2006, "Zheng Hua" membuat keputusan untuk membunuh mangsa dengan menjerut lehernya menggunakan wayar komputer apabila mangsa didapati meninggikan suara kepadanya.

Selepas mangsa meninggal dunia, mayatnya telah dimasukkan ke dalam sebuah beg pakaian berwarna biru gelap dan beg itu kemudian dicampakkan ke tepi jalan di Damansara Jaya. Sehari selepas itu, "Zheng Hua" telah berlepas balik ke China.

Mayat Tan ditemui pada 21 September 2006 oleh pekerja syarikat pembinaan di Damansara Jaya dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat.

Terdahulu, peguam R.Thirukumaran yang mewakili Liu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya, yang merupakan bekas pelajar sebuah kolej swasta, telah insaf dan berjanji tidak akan melibatkan diri dalam kegiatan jenayah.

Beliau berkata anak guamnya merupakan pesalah pertama dan memainkan peranan yang kecil dalam kejadian itu kerana perancang utama ialah suspek bernama Zheng Hua yang telah melarikan diri.

Peguam K.L.Chee, yang mewakili Li, juga memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya, yang juga bekas pelajar sebuah kolej swasta, kerana dia tidak berniat untuk menyebabkan kematian mangsa dan hanya memainkan peranan kecil dalam kejadian itu.

Timbalan Pendakwa Raya Isa Hassim pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kedua-dua tertuduh sepatutnya melanjutkan pelajaran tetapi telah melakukan kesalahan yang agak berat. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan