Ustaz Myanmar Dipenjara Dan Disebat Miliki Ganja

Diterbitkan: Selasa, 1 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang ustaz warga Myanmar dikenakan hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana kesalahan memiliki ganja seberat 28.29 gram Februari lepas.

Majistret Siti Suriatey Mohd Yusoff menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohdali Halim, 29 yang mengaku bersalah memiliki empat paket ganja di kaki lima Jalan 2/3 A Pusat Bandar Utama di Sentul pada 10.15 pagi 22 Februari.

Mohdali, yang juga bekerja di Pasar Borong Selayang pada malam hari, turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan kedua iaitu tidak memiliki permit yang sah dan dikenakan hukuman penjara lima bulan.

Terdahulu Mohdali, yang diwakili peguam Arlene Tan, memohon agar dikenakan hukuman yang ringan dengan alasan dia mempunyai isteri, seorang anak serta keluarga yang perlu ditanggung di Myanmar.

Mohdali, yang hanya berpendapatan RM20 sehari, berkata dia perlu mengirim RM300 setiap bulan kepada keluarganya di Myanmar.

Pendakwaan dijalankan oleh Cif Insp Dr. N. Ghanti. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan