Pembantu Kedai Edar Pil Khayal Dihukum Gantung - Berita Mahkamah | mStar

Pembantu Kedai Edar Pil Khayal Dihukum Gantung

Diterbitkan: Isnin, 31 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Mahkamah Tinggi di sini Isnin menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas seorang pembantu kedai selepas didapati bersalah mengedar 979 bijil pil jenis 'methamphetamine' seberat 13.94 gram, dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim sewaktu membacakan penghakimannya, berkata pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap Ahmad Sa'ad Hazmin, 25, tanpa keraguan yang munasabah.

"Hanya ada satu sahaja hukuman yang boleh dijatuhkan terhadap kamu bersabit kesalahan ini, dan dengan ini, mahkamah memerintahkan kamu dihukum gantung sampai mati.

"Dalam kes ini pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan berlakunya transaksi jual beli secara terus," katanya.

Ahmad Sa'ad kelihatan tenang sewaktu hukuman itu diumumkan dan selepas berakhirnya prosiding, keadaan menjadi hiba apabila sanak saudara mengambil kesempatan memeluk dan mencium tertuduh itu.

Tertuduh, yang bekerja di sebuah kedai menjual pakaian terpakai, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan di Kampung Kasar, Pasir Mas, pada pukul 8.40 malam, 29 Januari 2008.

Tertuduh dihukum mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang sabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussin manakala tertuduh diwakili peguam Wan Naziruddin Wan Jaafar.

Wan Naziruddin berkata pihaknya akan membuat rayuan terhadap hukuman itu. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan