Lelaki Warga Indonesia Dihukum Gantung Kerana Edar 4,697 Gram Kanabis

Diterbitkan: Isnin, 31 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang lelaki warganegara Indonesia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini Isnin kerana mengedar kanabis seberat 4,697 gram, enam tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohamad menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tertuduh, Hasbala Mohd Sarong, 22, gagal membuktikan prima facie terhadap kes pendakwaan.

Hasbala didapati bersalah melakukan kesalahan itu di perhentian bas di depan Kilang Proton, Seksyen 26 di sini, kira-kira pukul 10 malam pada 27 Februari 2004.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhairy Zakaria sementara tertuduh diwakili peguam V Samynathan.

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi berasingan, seorang pemilik kedai telekomunikasi dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar kanabis seberat 921 gram di tempat letak kereta Ampang Point Asia Park, Jalan Memanda 3, Ampang Point, Ampang Jaya, Hulu Langat, kira-kira pukul 9.30 malam pada 8 Jun 2004.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap Rosedin Mohd Nawawi, 44.

Seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan sementara pembelaan mengemukakan empat orang saksi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Isa Hassim sementara Rosedin diwakili peguam Zamri Ibrahim yang menyebut bagi pihak peguam Datuk Hanif Hashim. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan