Mahkamah Rayuan Bebaskan Bekas Pengarah Peperiksaan CLP

Diterbitkan: Khamis, 27 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Bekas pengarah peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP), Khalid Yusoff hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada pertuduhan menipu dan memalsukan keputusan peperiksaan CLP.

Hakim Datuk Hasan Lah yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dalam kedua-dua pertuduhan terhadap Khalid.

Beliau berkata, pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah dan sabitan Khalid adalah tidak kukuh.

Hasan dan Hakim Datuk Ahmad Maarop dan Hakim Datuk Sulaiman Daud sebulat suara membenarkan rayuan terakhir Khalid untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara tiga bulan yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Julai, 2007.

"Keadilan telah dilaksanakan, kebenaran telah dibuktikan. Mereka (peguam yang mewakilinya) telah lakukan tugas dengan baik", kata Khalid, 58, bekas dekan fakulti undang-undang Universiti Teknologi Mara kepada pemberita selepas keputusan itu. Isteri dan anggota keluarga beliau menitiskan air mata tanda gembira.

Khalid turut menitiskan air mata semasa beliau memeluk peguam yang mewakilinya, Jagjit Singh dan Akbardin Abdul Kader.

Khalid, yang kini merupakan penasihat undang-undang persendirian, dituduh mengubah keputusan peperiksaan CLP bagi tujuan mendapatkan faedah kewangan di pejabat Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang di Menara Tun Razak, Jalan Raja Laut, antara Ogos dan September 2001.

Beliau dituduh memperdaya lembaga itu untuk mempercayai bahawa senarai induk peperiksaan itu mengandungi markah yang diberikan oleh para pemeriksa.

Rayuannya di Mahkamah Tinggi terhadap sabitan dan hukumannya ditolak pada 20 April tahun lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan